BERITA mengenai keputusan pasukan pentadbiran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk tidak meneruskan khidmat ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak menerima respons pelbagai pihak.
Meskipun dikatakan pendekatan taktikalnya sudah tidak relevan dengan landskap bola sepak tempatan, segelintir penyokong masih berasakan kehadirannya membantu pasukan.
Kejayaan jurulatih kelahiran Singapura itu untuk menjulang trofi Piala FA 2019 dilihat sebagai kenangan manis buat skuad Sang Kenari berikutan kekurangan kejayaan ketika ini.
Oleh itu, tidak timbul sebarang keraguan apabila ketiadaanya bersama pasukan musim depan mendatangkan sedikit rasa tidak senang dalam kalangan penyokong.
Baru-baru ini, Aidil memecahkan kebisuan sejak perkara itu dengan memuat naik satu hantaran di Instagram peribadinya yang memaparkan pemandangan dia dalam kapal terbang.
Hantaran Aidil menerusi Instagramnya seakan-akan mengandungi 1,001 mesej.
Menariknya, hantaran itu juga menyertakan lagu 'Selamat Tinggal Penderitaan' dendangan kumpulan Iklim yang seakan-akan membuktikan perasaan sedih dan kecewanya ketika ini.
'Terima kasih atas kesakitan, yang telah kau berikan kerana itu penghinaan juga,'
Sebelum ini, beberapa laporan mengatakan karier kejurulatihan Aidil bersama pasukan tersebut berdepan pelbagai cabaran dengan isu kewangan dikatakan antara halangan tersebut.
Bagaimanapun, sumbangannya selama empat musim bersama skuad Sang Kenari tidak boleh dipersoalkan selepas dia berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua sebanyak dua musim.
Selain itu, kemampuannya untuk menerapkan persembahan bertenaga dan taktikal menarik menerima pujian bertubi-tubi daripada peminat tegar bola sepak tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram