Tewas 6 kali berturut-turut, fans Kedah dedah punca kelam kabut di padang


  • Podium
  • Khamis, 27 Okt 2022

Marc Vales (kanan) merupakan antara pemain yang sering dilantik menjadi kapten pasukan Sang Kenari pada musim ini. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC gagal mengubat luka penyokong lagi apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia 2022 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Khamis.

Meskipun tuan rumah terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi menerusi jaringan Fayadh Zulkifli pada minit ketujuh namun tonggak pertahanan NSFC, Che Rashid Che Halim berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-41.

NSFC terus menambah luka Sang Kenari apabila Matheus Alves menjaringkan gol kedua pada minit ke-67 hasil tandukannya.

Keputusan akhir perlawanan itu merupakan kekalahan keenam berturut-turut buat Kedah dengan kali terakhir Sang Kenari tewas 1-3 tangan Terengganu FC (TFC) dalam aksi terakhir Liga Super 2023.

Jika sebelum ini ramai yang menyalahkan bekas ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak merupakan antara punca Kedah mempamerkan musim terburuk namun hakikatnya selepas Victor Andrag dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih KDA FC, Sang Kenari tetap tidak mampu melakar kemenangan.

Bagi penyokong tegar Hijau Kuning, Faiz Rodzi menyatakan bahawa kehilangan pemimpin atas padang merupakan faktor Kedah mengalami kekalahan terburuk.

Jelasnya, selepas pemain legenda Kedah, Baddrol Bakhtiar meninggalkan Sang Kenari pada musim lalu, skuad Hijau Kuning seperti kehilangan pemimpin yang boleh menaikkan moral kepada barisan pemain.

Screenshot 2022-10-27 at 11.25.23 AM

Baddrol (kanan) dan Rizal membuat keputusan untuk berhijrah ke Sabah pada penghujung musim lalu. — Facebook/KDAFC

“Kalau sebelum ini kita letakkan kesalahan sepenuhnya ke atas coach Aidil walaupun kita tahu track record dia bersama Kedah agak cemerlang, malam ini kita nak salahkan siapa pula.

“Isu besar yang sebenar, Kedah hilang pemain berpengaruh, hilang ketua, hilang pemimpin yang boleh naikkan moral rakan pasukan,” komennya.

Bukan itu sahaja, kelompongan bahagian pertahanan turut dirasai selepas Rizal Ghazali mengikut jejak langkah Baddrol untuk Sabah pada hujung tahun lalu.

“Kita kena akui kita tak bersedia untuk hilang pemain-pemain berpengaruh ni dalam pasukan sebab kenyataan sebenar kita tak mampu nak ganti kekosongan yang ditinggalkan.

“Nak ada ketua yang ada strong characters macam dulu balik, bukan sikit masa nak ambil, silap-silap empat atau lima tahun pun tak boleh lagi..

“Bila mereka kata, ‘seorang’ pemain itu gaji dia boleh tampung empat hingga lima orang pemain lagi yang ada ability sama, di situ dah nampak kuantiti melebihi kualiti. Bila kuantiti melebihi kualiti, kita tahu di situ bola sepak bukan keutamaan,” katanya.

Perjalanan Kedah dalam Piala Malasyia tidak terhenti lagi kerana giliran Hijau Kuning pula bertandang ke Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi bagi aksi timbal balik pada 1 November ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram