Piala AFF 2022: SSI, SSMZA antara 4 venue dalam radar FAM selain Bukit Jalil


  • Podium
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Venue Piala AFF 2022 akan diputuskan dalam mesyuarat badan induk itu Selasa depan. — Agensi

BEBERAPA venue alternatif selain Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sedang dipertimbangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk digunakan pada saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat badan induk itu Selasa depan.

"Mungkin SNBJ kita akan gunakan...tapi apa pun kita akan muktamadkan dengan pihak pengurusan," katanya kepada pemberita pada program klinik bola sepak Piala AFF 2022 di Subang Jaya, Selangor pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan berhubung penggunaan SNBJ yang dikatakan turut menganjurkan beberapa acara lain sepanjang tempoh Piala AFF berlangsung dari 20 Disember sehingga 16 Januari tahun hadapan.

Mengikut jadual awal, Malaysia dijangka menjadi tuan rumah bagi aksi menentang Laos serta Singapura yang dijadual berlangsung pada 24 Disember dan 3 Januari tahun hadapan.

Difahamkan, selain SNBJ, Stadium Kuala Lumpur di Cheras turut tersenarai untuk venue di kawasan Lembah Klang manakala tiga lagi stadium melibatkan Stadium Hang Jebat di Melaka, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, Terengganu dan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Sementara itu, Noor Azman berkata, menjelang saingan Piala AFF, FAM turut merancang untuk mengadakan beberapa siri aksi perlawanan persahabatan Tier 1 buat skuad Harimau Malaya dan pasukan yang bakal bertemu skuad kebangsaan itu akan diputuskan kemudian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram