MAHKAMAH Sesyen Kemaman, Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 20 sebatan ke atas seorang tukang kebun setelah dia mengaku salah terhadap dua pertuduhan merogol adik iparnya pada September lalu.
Tertuduh yang berusia 34 tahun itu membuat pengakuan setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd di mahkamah tersebut pada Ahad.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol adik iparnya yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kemasik, Kemaman, Terengganu kira-kira pukul 9.30 pagi pada 21 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di lokasi sama kira-kira pukul 8 pagi pada 25 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan bagi setiap kesalahan.
Mahkamah menetapkan hukuman ke atas tertuduh bermula dari tarikh tangkap pada 4 Oktober lalu.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Sinarharian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram