SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada Khamis selepas dia didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal pada anak jirannya.
Tertuduh melakukan perbuatan jelik tersebut dengan cara meraba mangsa yang berusia 12 tahun.
Mohd Saperi Sapar, 48, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas satu pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11 malam di sebuah rumah di Tangga Batu dalam daerah Melaka Tengah pada 2 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius selain faktor usia mangsa yang masih muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun daripada tarikh ditangkap iaitu 9 Oktober lalu. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram