Pemandu e-hailing dituduh bunuh budak 4 tahun


Tertuduh didakwa membunuh Lee See Jie di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai pada 2 Oktober lalu. — Astro Awani

SEORANG pemuda didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, awal Oktober lepas.

Chan Wan Jie , 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang bekerja yang bekerja sebagai pemandu e-hailing didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki itu di sebuah rumah di Taman Skudai Ria, Skudai, Johor antara pukul 8 hingga 8.30 malam 2 Oktober lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam K. Veeranesh Babu.

Majistret R.Salini menetapkan 17 November sebutan semula kes.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pembantu rumah warga Indonesia yang turut ditahan dalam kes tersebut dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Yuliana, 40, didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama pukul 10.15 pagi 3 Oktober lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram