Ibu bapa jangan 'leka', beri peluang pada penjenayah — Musa Hassan


  • Massa
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Musa Hassan mengharapkan semua pihak memainkan peranan penting bagi menangani jenayah penculikan kanak-kanak.

KERJASAMA antara guru, ibu bapa dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bagi mengekang kejadian culik pelajar di kawasan sekolah yang dikatakan semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Menurut Presiden Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia, Tan Sri Musa Hassan, semua pihak perlu berganding bahu agar dapat menjamin keselamatan pelajar.

"Ibu bapa perlu berhati-hati dan sebaiknya hantar serta jemput anak tepat pada waktu. Jangan biarkan anak sendirian di sekolah.

"Sekolah juga boleh tingkatkan kawalan keselamatan di pintu pagar sekolah. Melantik pegawai keselamatan bagi memantau pelajar yang pulang lewat.

"Pelajar akan tunggu di dalam kawasan sekolah sehingga ibu bapa mereka tiba," katanya kepada Majoriti.

majoriti2022 (2)

Musa Hassan

Mengulas lanjut, bekas Ketua Polis Negara itu turut memberitahu, PDRM boleh melakukan rondaan di sekitar kawasan sekolah.

"Hubungan baik antara masyarakat dengan polis turut sama-sama mengelakkan perkara kejadian penculikan berlaku," ujarnya.

Musa juga mengharapkan PDRM menjalankan siasatan segera bagi mengetahui tujuan penjenayah menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran mangsa.

"Kita masih tidak mengetahui tujuan mereka menculik sama ada ingin untuk menjual mangsa ke luar negara atau dijadikan sebagai hamba seks," katanya.

Sebelum ini Majoriti melaporkan tentang lima kes culik membabitkan kanak-kanak yang mencuri perhatian masyarakat berlaku di Pahang, Kelantan, Selangor, Perak dan Kedah sepanjang 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram