SIASATAN terperinci perlu dilakukan oleh semua pihak bagi mengenalpasti kejadian sebenarnya yang berlaku ke atas remaja yang dipercayai menjadi mangsa dera di sebuah madrasah di Shah Alam, Selangor.
Perkara itu disuarakan Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron ketika diminta mengulas mengenai insiden tersebut yang berlaku baru-baru ini.
Katanya semua pihak harus memainkan peranan agar tidak menimbulkan kenyataan berat sebelah terutama apabila difahamkan premis terbabit sudah beroperasi hampir dua dekad.
“Siasatan yang telus perlu dilakukan. Sekiranya benar apa dakwaaan wujud perjanjian antara madrasah dan ibu bapa, jelaskan perjanjian itu berlandaskan apa? Setiap perkara itu perlukan butiran terperinci.
“Selain melibatkan sistem atau perundangan, lihat pula adakah madrasah ini memiliki pemikiran yang tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” jelasnya kepada Majoriti.
Mohamad Sabri Haron
Susulan daripada insiden itu Mohamad Sabri turut menasihatkan agar ibu bapa membuat menilaian terperinci sebelum membuat sebarang keputusan lebih-lebih lagi apabila melibatkan larangan bertemu dengan ahli keluarga.
“Sebagai ibu bapa dan anak sudah menjadi fitnah manusia untuk kita saling berkomunikasi antara satu sama lain. Sekiranya mendapat syarat yang tidak masuk akal, bertanyakan apa sebab dan kemungkinannya.
“Jika masih ragu-ragu boleh dapatkan khidmat mereka yang lebih arif bagi mengelakkan perkara tidak baik di kemudian hari,” katanya.
Mohamad Sabri turut meletakkan harapan agar insiden yang melibatkan madrasah terbabit dapat diselesaikan sekali gus menjernihkan semula keadaan.
Hal ini kerana bimbangan perkara tersebut tidak hanya melibatkan premis itu sahaja, tetapi institut lain turut terkena tempias. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram