PM gesa siasat dakwaan salah laku Tommy Thomas


  • Primer
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Ismail Sabri (kiri) mengarahkan siasatan segera bagi menyiasat salah laku Tommy Thomas dalam buku tulisannya bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan siasatan segera bagi menyiasat kemungkinan berlaku salah laku Tan Sri Tommy Thomas melibatkan dakwaan dalam buku tulisannya bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Menurut Ismail Sabri, Pasukan Petugas Khas Siasatan ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat dan mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan tujuan tindakan susulan yang perlu diambil.

Katanya, kes itu akan disiasat antaranya di bawah Seksyen 124(1) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Laporan sudah disediakan oleh pasukan khas dalam tempoh sembilan bulan bermula Disember 2021 sehingga Ogos 2022. Segalanya dilakukan dengan teliti dan akan memperincikan setiap dakwaan-dakwaan yang disebut oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, agensi tersebut turut mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku bekas Peguam Negara itu dan dipecahkan kepada beberapa bahagian.

Pertama, dakwaan ke atas Badan Kehakiman; kedua, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; ketiga, tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan keempat, kenyataan berbaur hasutan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram