Piala AFC: Diancam otai Uzbekistan, pertahanan KL City wajib 'all out'


  • Podium
  • Selasa, 04 Okt 2022

Pemain-pemain KL City sedang menjalani latihan sebelum perlawanan pada Rabu. — Facebook/KL City

SELEPAS dinobatkan gelaran ‘Raja Asean’ dalam saingan Piala AFC musim ini, Kuala Lumpur (KL) City FC tidak mahu sejarah gemilang itu terhenti separuh jalan.

Tidak dinafikan, ramai tidak menyangka skuad kendalian Bojan Hodak mampu melangkah jauh dalam saingan antarabangsa sehingga berjaya menempah tiket ke slot akhir antara zon kejohanan tersebut.

Skuad The City Boy juga dilihat sangat bersemangat untuk terus membuktikan bahawa skuad 'underdog' mampu melakar kejutan pada peringkat antarabangsa meskipun dipandang sebelah mata dalam liga sendiri.

KL City bakal membuat perhitungan bersama kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh FC bagi melayakkan mereka bertemu juara Zon Asia Barat bagi penentuan gelaran juara Piala AFC 2022.

Hasanov merupakan pemain 'otai' yang digeruni. Majoriti

Di atas kertas, kedua-dua pasukan tampak seimbang dengan pemain berkualiti serta prestasi memberangsangkan dengan masing-masing berada di kedudukan keenam dalam liga tempatan.

Kelebihan pasti menyebelahi pasukan tuan rumah, namun pemain-pemain KL City dikhabarkan tidak langsung gugup kecuali berdepan sedikit cabaran cuaca di Uzbekistan.

"Keadaan cuaca di sini (Uzbeskistan) berubah-ubah. Apabila siang panas dan malam sejuk sangat. Jadi kelembapan cuaca itu boleh membuatkan kami agak letih.

"Tetapi pemain-pemain sudah bersemangat. Kami dah dapat rehat yanc cukup dan sudah pun memulakan latihan. Tiada siapa alami kecederaan, jadi semuanya berjalan lancar setakat ini," kata Hodak kepada Majoriti.

Norkhonov antara pemain yang akan menyusahkan pertahanan KL City. Agensi

Mengulas mengenai pasukan lawan, Hodak akui bahagian pertahanan skuad kendaliannya perlu bekerja keras kerana perlu berwaspada dengan dua tonggak lawan iaitu Jasur Hasanov (pemain tengah) dan Shokhruz Norkhonov (penyerang).

Kombinasi dua pemain itu berjaya meledak sembilan gol pada kempen Piala AFC musim ini dengan Jasur menghasilkan lima gol sementara Shokhruz pula dengan empat jaringan.

"Norkhonov sangat laju dan berbahaya dalam kota penaliti manakala Hasanov pula pemain 'otai'. Walaupun Hasanov dah berusia 39 tahun, tapi dia memiliki kekuatan sepakan kaki kiri.

"Dia mampu melakukan hantaran silang dan banyak jaringkan gol. Jadi, betul, bahagian pertahanan kami perlu kerja keras pada perlawanan nanti (Rabu)," katanya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram