'Berada di ambang kematian', saksi tragedi rusuhan cerita detik berada di timbunan mayat


  • Podium
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Aulia (kanan) adalah mangsa terselamat tragedi berdarah Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Indonesia.

BERADA di lokasi kejadian ketika insiden hitam dalam sejarah bola sepak dunia berlaku merupakan pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan seorang remaja berusia 16 tahun.

Tiada siapa dapat menduga, hasratnya untuk menonton perlawanan bola sepak berakhir dengan aksi keganasan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 131 nyawa termasuk kanak-kanak.

Menurut anak muda bernama Aulia Rachman, kejadian di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Indonesia pada Sabtu lalu membuatkan dirinya terasa seperti berada di ambang kematian.

Pelbagai hal dialaminya dalam satu-satu masa, dimulai dengan tembakan gas pemedih mata, berasak-asak mencari jalan keluar sehingga dikelilingi timbunan manusia.

"Pada minit ke-51 perlawanan, pasukan Persebaya mencetak satu gol tambahan sekali gus mengunci kemenenangan sebelum wisel penamat terakhir dibunyikan.

"Kemudian saya melihat ramai penonton turun ke padang, diikuti pihak berkuasa yang menangkap mereka. Melihat perkara tersebut, semakin ramai terus menyerbu ke tengah padang.

Tangga menuju pintu keluar stadium, para penonton berjatuhan dan saling menimpa.Agensi

"Ketika menuruni tangga, ramai yang saling berjatuhan dan saling menimpa atas satu sama lain. Pihak berkuasa cuba kawal keadaan dengan menyembur gas pemedih mata dan itu membuatkan saya sukar bernafas," katanya.

Jelas Aulia, ketka terjatuh di atas timbunan manusia itu, dia dapat melihat muka-muka mereka yang berada di bahagian bawah timbunan bertukar pucat dan daripada situ, dia sudah menerima takdirnya.

"Saya juga terjatuh di atas timbunan tersebut dan sedar. Ramai orang pijak-pijak di atas saya. Saya rasa ratusan orang tertimbun di situ. Saya melihat muka orang yang paling bawah seperti sudah meninggal. Dia anak remaja dan mukanya pucat," katanya yang pengsan selepas kejadian itu.

Ketika sedarkan diri, Aulia telah berada di ruang VIP stadium berkenaan dan dia diserahkan kepada ibu bapanya.

Dalam perkembangan lain, enam individu terdiri daripada tiga anggota jawatankuasa penganjur dan tiga anggota polis berdepan tuduhan jenayah berkaitan tragedi 1 Oktober tersebut.

Anggota polis melepaskan gas pemedih mata ketika rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang pada 1 Oktober lepas. — Agensi

Tiga anggota polis itu adalah mereka yang bertugas semasa pertembungan 'derby Jawa Timur' antara Arema FC dan Persebaya Surabaya, kata Ketua Polis Jenderal Listyo Sigit Prabowo dalam sidang media yang disiarkan stesen televisyen tempatan.

Beliau berkata, mereka akan didakwa di bawah Perkara 359 dan 360 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian sehingga menyebabkan kematian dan Perkara 103 perenggan 1 Undang-Undang No 11 Tahun 2022 mengenai sukan.

Listyo berkata, ketua PT Liga Indonesia Baru, organisasi yang mentadbir pertandingan bola sepak profesional Indonesia disyaki gagal memastikan stadium memenuhi syarat untuk pensijilan operasi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram