Tragedi berdarah Arema–Persebaya, pemain cerita detik-detik sebelum rusuhan


  • Podium
  • Isnin, 03 Okt 2022

Kakitangan keselamatan memasuki padang selepas perlawanan bola sepak antara Arema FC dan Persebaya Surabaya bertukar ganas di Stadium Kanjuruhan. — Agensi

SEORANG pemain import Arema FC, Sergio Silva berkongsi apa yang berlaku di bilik persalinan Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Indonesia ketika insiden malang yang menyebabkan lebih 170 nyawa terkorban pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, Arema FC tewas 2-3 kepada Persebaya yang menyaksikan ia kekalahan pertama dalam tempoh lebih dua dekad kepada musuh ketatnya.

Menurut pemain berusia 28 tahun itu, barisan pemain Arema FC memilih untuk memasuki bilik persalinan apabila peminat mula memasuki padang.

Padahal pemain Arema FC sebenarnya bercadang untuk berjalan di sekitar stadium bagi memberi penghormatan kepada penyokong.

kerusuhan-tragedi-stadion-kanjuruhan_169

Rusuhan penyokong ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan. — Agensi

"Walaupun tewas, kami (bercadang) untuk berjalan di sekeliling stadium bagi menghormati penyokong. Pergerakan itu terhenti di tengah padang.

"Kami nampak ada tanda-tanda beberapa penyokong (masuk) ke kawasan padang. Saya fikir mereka mahu memberikan sokongan dan bukan menyerang tapi kami rasa lebih baik ke bilik persalinan," katanya.

Selepas memasuki bilik persalinan, pemain Arema FC kurang jelas dengan keadaan yang berlaku di luar. Pada masa sama, mereka juga tidak berasa selamat sepenuhnya apabila suasana kecoh berterusan, terutama di kawasan koridor bilik persalinan.

"Kami menghabiskan empat hingga lima jam di dalam bilik persalinan dan menahan pintu dengan meja serta kerusi," ujar Silva.

Silva dan rakan sepasukan yang lain akhirnya menyedari ia adalah suara penyokong yang terdesak dan kesakitan akibat situasi di stadium, baik kerana gas pemedih mata atau menjadi mangsa rusuhan.

153-orang-tewas-laga-arema-fc-vs-persebaya-surabaya-jadi-tragedi-sepakbola-paling-mematikan-kedua-di-dunia-veeZRioXl7

Kenderaan rosak teruk selepas rusuhan penyokong penyokong ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya. — Agensi

Pada ketika itu Silva melihat dengan matanya sendiri beberapa penyokong seperti nyawa-nyawa ikan dan ada juga yang masih berusaha menyelamatkan diri.

“Kami akhirnya membawa masuk beberapa orang (penyokong) ke sini. Mereka yang maut dan cedera dengan segera dibawa ke hospital. Beberapa orang tidak sempat diselamatkan dan mati di bilik mandi.

"Senario itu sangat mengerikan seperti kehancuran dan peperangan, kereta polis terbakar, semuanya rosak, koridor penuh darah dan kasut-kasut orang," katanya.

Lebih menyedihkan terdapat anggota keluarga pasukan turut maut kerana insiden malang itu. Silva dan rakan sepasukannya mendapat tahu turut menjadi mangsa adalah salah seorang anggota keluarga pembantu jurulatih Arema FC.

“Kami juga mendapat tahu salah seorang anggota keluarga pembantu jurulatih turut menjadi mangsa.

Aremania-membopong-korban-kericuhan-saat-laga-Arema-FC-vs-Persebaya

Kakitangan keselamatan memasuki padang selepas perlawanan bola sepak antara Arema FC dan Persebaya Surabaya bertukar ganas di Stadium Kanjuruhan. — Agensi

Silva bagaimanapun menyimpulkan perkara itu bukan berlaku semata-mata kerana penyokong tidak berpuas hati dengan kekalahan yang dialami oleh Arema kepada Persebaya.

“Memang ada rasa tidak puas hati atas kekalahan itu, tetapi saya berpendapat sebahagian besar penyokong bertindak balas dengan tindakan yang dilakukan oleh pihak polis yang menyembur gas pemedih mata.

“Tetapi pihak polis sudah tentu akan berusaha mempertahankan diri. Jadi situasinya agak sulit.”

Tragedi yang berlaku di Malang, Indonesia itu kini dianggap sebagai salah satu tragedi terburuk pernah berlaku di dalam dunia bola sepak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram