BERITA mengenai pelantikan Ketua Jurulatih sensasi, Lim Teong Kim (LTK) sebagai pengemudi Perak FC ternyata mengejutkan ramai termasuklah penyokong Kelantan FC.
Ini kerana pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman pernah menyuarakan hasrat untuk menyunting bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu buat pasukannya musim hadapan.
Namun, setelah Perak FC mengumumkan secara rasmi berkenaan kerjasamanya dengan pengendali berusia 59 tahun itu pada Selasa, penyokong Kelantan harus akur bahawa hajat mereka tidak kesampaian.
Pada Jumaat, satu lagi berita merisaukan penyokong The Red Warriors (TRW) apabila penyerang sensasi muda negara, Luqman Hakim dilaporkan menjadi rebutan sekurang-kurangnya empat kelab Liga Malaysia (Liga M).
Kelab tersebut termasuklah Kelantan FC sendiri, Kuala Lumpur City FC, Selangor FC dan Perak FC.
Menurut sumber yang dipetik menerusi sebuah media tempatan, tawaran berkenaan sememangnya ada namun terpulang kepada Luqman dan kelabnya ketika ini, KV Kortrijk untuk menerima atau tidak.
Tambah sumber itu, pemain berusia 20 tahun itu kelihatan seperti masih berminat untuk kekal bermain di luar negara.
Tangkap layar troll penyokong Perak FC kepada potensi Kelantan FC yang dijangka berputih mata lagi.
Sebelum ini, Norizam turut mengalu-alukan kehadiran bintang muda negara itu jika berhajat untuk beraksi dengan skuad TRW yang bakal beraksi di Liga Super musim depan.
Menurut pelabur dari Johor itu, Luqman bakal mendapat lebih banyak minit permainan sekiranya bermain di liga tempatan berbanding berada di Liga Eropah.
Melihat situasi semasa, penyokong Kelantan enggan pasukan tersebut kehilangan lagi satu prospek yang didamkan dan memohon agar pihak pengurusan TRW bertindak segera.
"Sekarang ini, Kelantan FC belum ada pengumuman mengenai ketua jurulatih. Mana mungkin pemain star nak datang tanpa tahu siapa jurulatih,"kata Rafidi Yaakub.
Mohd Subkhi menyambung: "Tak mungkinlah pergi TRW macam ni. Kalau dah banyak pasukan nak. Mesti dia letak harga mahal. Boszam tak mungkin akan bayar harga kayangan untuk pemain TRW."
"Luqman itu anak didik LTK. Tak mustahil kalau LTK akan tarik Luqman. Tapi Luqman anak jati Kelantan. Kalau tawaran bagus, pasti dia balik," kata Saiful Anwar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram