KHABAR gembira buat pemain sayap Terengganu FC II (TFC II), Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid tidak bertahan lama apabila Kelab Johor Darul Takzim menepis dakwaan terdapat tawaran dibuat kepadanya.
Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim, Alistair Edwards berkata, JDT sedang dalam perbincangan dengan beberapa pemain luar negara dan berkemungkinan akan menandatangani seorang pemain tempatan, tetapi pemain tersebut bukanlah Atiq.
"Kami terkejut dengan berita tentang tawaran yang sudah dilakukan kepada Atiq. Kami juga tertanya-tanya dari mana Atiq mendapat tawaran tersebut kerana tiada walau seorang pun staf teknikal termasuk saya selaku Pengarah Teknikal atau Martin Prest, Pengarah Sukan telah membuat tawaran kepada pemain tersebut," katanya menerusi satu kenyataan ringkas di Facebook Johor Southern Tigers.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Atiq akui terkejut selepas mendapat tahu dirinya 'dilamar' gergasi Liga Malaysia (Liga M), JDT bagi memperkuatkan pasukan itu dalam saingan liga musim depan.
Menurut Atiq, berita itu dilihat sebagai satu perkembangan positif buatnya untuk mengembangkan lagi kariernya bersama skuad Harimau Selatan itu.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Kemaman berusia 21 tahun itu belum lagi membuat keputusan muktamad sama ada bakal berhijrah bersama skuad JDT ataupun terus kekal dibumi Darul Iman.
Sebagai rekod, pemain versatil itu membantu Terengganu merangkul ibu emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di Lembah Klang, minggu lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram