DATUK Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida menganggap tindakan pemilik kelab TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah Stadium Shah Alam sebagai sekadar omong-omong kosong.
Menurut Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd yang juga bekas penaja pasukan The Red Warriors tersebut, tiada persamaan antara pasukan yang berpangkalan di Kelantan berkenaan dengan stadium yang berada di ibu negeri Selangor itu.
"Tak payah gebang! Kelab dekat Kelantan, kenapa nak pajak stadium di Shah Alam pula? Cadangan yang dia beri tidak praktikal langsung.
Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan Kelantan FC, saya rasa pelaburan untuk sukan ini tak ke mana buat masa ini," jelasnya kepada Majoriti.
Stadium yang pernah dinobatkan sebagai stadium terbesar di Asia Tenggara kini usang
v
Vida juga berpendapat tindakan Norizam menawarkan diri untuk memajak stadium berkenaan itu sebagai sesuatu yang tidak wajar.
"Jadi tak payahlah sibuk nak pajak sana, pajak sini. Saya rasa dia hanya nak tumpang nama pada isu terbabit," katanya.
Untuk rekod, pada awal musim 2016, Vida Beauty menjadi penaja utama Kelantan dengan mengikat perjanjian bernilai RM16 juta bagi tempoh dua musim sehingga 2017.
Paling ketara, RM1 juta diperuntukkan untuk mengubah wajah Stadium Sultan Muhammad IV kepada warna merah jambu dan putih selari dengan tema produk kecantikan tersebut.
Selain itu, nama pasukan Kelantan juga ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors sebagai antara syarat penajaan.
Sementara itu, berkaitan Stadium Shah Alam, kerajaan Selangor dilaporkan berhasrat untuk merobohkan kemudahan itu sebagai langkah penjimatan jangka masa panjang.
Bangunan ikonik yang pernah dinobat sebagai stadium terbesar di Asia Tenggara akan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil.
Stadium baharu yang bakal dibina boleh menampung kapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton sahaja berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300 penonton. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram