'No pain, no gain', Teong Kim titip teguran buat pemain Perak FC


  • Podium
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Teong Kim bersikap tegas dalam latihan yang diberikan kepada para pemain Perak FC. — Facebook

DISEBUT-SEBUT bakal menjadi pasukan yang digeruni, Perak FC di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim terus mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air.

Skuad Seladang itu kini dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak mereka selepas menghadapi musim yang sukar sebelum ini.

Barisan pemain Perak FC giat menjalani latihan di bawah bimbingan Teong Kim yang juga bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Ketika sesi latihan pertama bersama ketua jurulatih itu di Padang Latihan Stadium Mini, Chepor baru-baru ini, Teong Kim menitipkan pesanan kepada anak-anak buahnya.

"No pain, no gain!," demikian ungkap Teong Kim menerusi rakaman video yang dikongsikan TBG TV menerusi laman Facebook rasmi, Perak Football Club.

309366627_177954354784948_3238996475441562179_n

Sebahagian pemain Perak FC menjalani latihan sulung bersama Teong Kim baru-baru ini. — Facebook

Pengendali berusia 59 tahun itu berkata, dia berpuas hati dengan mutu permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika ini, namun berasakan masih banyak yang boleh diperbaiki.

"Objektiviti latihan ini adalah bagi melihat bagaimana mereka bermain dan cara bermain secara taktikal dari segi bagaimana mereka bertindak dan persefahaman antara pemain.

"Saya sungguh bangga dengan cara mereka berlatih... sangat bersungguh-sungguh, mereka bermain dengan penuh semangat. Senang saya bekerja dengan mentaliti begini.

"Memang kita boleh mnggilap pemain ini tapi perlu masa...setakat hari pertama, saya boleh kata memuaskan tapi masih ada banyak ruang untuk perbaiki persembahan mereka," katanya.

309521550_177954444784939_6393298846059683915_n

Teong Kim berasakan masih banyak peluang untuk memperbaiki kelemahan pemain Perak FC. — Facebook

Dalam sedutan rakaman yang menunjukkan Teong Kim bersama-sama pemain, bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari itu turut meninggalkan teguran kepada anak-anak buahnya untuk memperbaiki corak permainan.

"Apa yang saya tegur di sini (latihan), kamu kena pantas belajar supaya kita lebih maju dalam bola sepak.

"Cara kita main memang banyak berlari, bagi tekanan kepada pihak lawan, macam-macam kita akan buat.

"Passing bola mesti ada makna. Saya tak mahu lihat baik centre back, baik midfield, kalau bola tu datang dari 10 meter tapi (tendang) pergi macam separuh hidup. Semua kena come in speed boys," katanya.

ltk

Teong Kim kelihatan turut membantu para pemain meletakkan semula rumput yang tercabut usai sesi latihan. — YouTube

Teong Kim turut mengarahkan anak-anak buahnya untuk menanam semula rumput-rumput yang tercabut ketika sesi latihan.

"Rumput-rumput yang keluar (tercabut) tu tanam kembali sampai ke hujung sana (padang)," katanya.

Dia juga kelihatan turut bersama-sama para pemain meletakkan semula rumput yang tercabut selepas sesi latihan.

Perak FC dilaporkan mempunyai bajet untuk menukar permukaan padang di Stadium Perak di Ipoh yang menjadi gelanggang rasmi pasukan ketika ini, meskipun ia bakal menelan kos tinggi.

Skuad The Bos Gaurus itu juga akan memiliki sebuah stadium dan pusat latihan sendiri bagi menyediakan prasarana terbaik kepada pemainnya sebagai usaha membawa kembali pasukan itu ke puncak kegemilangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram