DALAM usaha membawa semula kejayaan ke Perak FC, pihak pengurusan tidak teragak-agak membawa masuk jurulatih tempatan, Lim Teong Kim yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Bekas pengarah Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) itu bakal membimbing skuad Seladang musim depan dalam satu format Liga Super yang lebih mencabar dengan 18 pasukan bakal bertanding.
Pengendali itu sememangnya terkenal dengan reputasi dalam mengasah bakat pemain muda kerana pengalaman bersama pasukan remaja Bayern Munich dan skuad B-19 kebangsaan.
Oleh itu, langkah diambil pihak pengurusan pastinya membawa kegembiraan kepada penyokong The Bos Gaurus yang sudah lama kecewa dengan kejatuhan pasukan itu daripada arena bola sepak tanah air.
Namun, Teong Kim pastinya tidak sabar untuk melantik barisan kejurulatihan yang dipercayainya dalam mencapai visi dan objektif sebagai ketua jurulatih pasukan senior itu.
Meskipun ketua jurulatih itu mempunyai kuasa untuk memilih pendekatan taktikal tersendiri, staf-staf teknikal yang berkualiti diperlukan bagi memberi idea dan perkongsian yang boleh diterapkan.
Oleh itu, Teong Kim pasti mencari seseorang yang mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan dan mengetahui serba sedikit akan susur galur bola sepak di Perak.
Salah satu nama yang dikatakan bakal bersama-sama jurulatih kelahiran Melaka itu ialah bekas pemain Perak FA, Raja Azlan Shah Raja Shoib yang cukup digemari penyokong TBG.
Kelibat Raja Azlan (baju kelabu) mendatangkan keghairahan buat penyokong TBG. — Media sosial
Dalam satu hantaran di laman Facebook Silver Retro, khabar angin mengatakan Perak FC dijangka menerima kepulangan legenda bola sepak negara yang pernah beraksi di posisi pertahanan.
"Individu itu pernah mencipta kegemilangan dalam membantu sebuah pasukan yang berpengakalan di Lembah Klang untuk menjuarai tiga trofi Piala Malaysia dan pernah bersama Perak FA ketika mereka menjulang Piala Malaysia pada 1998 dan 2000.
"Baru-baru ini, dia dilihat berada di Stadium Perak ketika TBG menentang Kuching City FC pada Sabtu tetapi ini sekadar gosip perpindahan dan pengesahan hanya akan diumumkan pihak pengurusan," tulisnya.
Ciri-ciri yang disebutkan itu amat bertepatan dengan Raja Azlan Shah yang pernah bermain bersama Kuala Lumpur FA dari 1987 hingga 1994 selain menjulang beberapa trofi sepanjang tempoh itu.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong sudah gembira apabila kepulangan bekas pemain itu mampu memberi semangat dan dorongan kepada pemain skuad itu.
Adakah Raja Azlan Shah akan menyertai barisan kejurulatihan Lim Teong Kim musim depan? — Media sosial
"Raja Azlan Shah memang seorang jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari ketika berada di bawah kendalian Teong Kim sehingga sekarang jika tidak silap. Pandai jaga ubi-ubi muda dia ni," kata Aidil Abu Hassan.
"Rekod Raja Azlan bersama Perak boleh dikatakan baik terutamanya apabila membawa skuad muda negeri ini untuk menjulang satu trofi yang saya juga tidak pasti masanya," kata Suhaimi Azis.
"Ketahanan pemain musim depan memang terbaiklah sekiranya Raja Azlan Shah sertai barisan kejurulatihan Teong Kim, tahap kecergasan pun tidak kurangnya," kata Own Qoloyz.
Selain bertugas di bawah AMD, Raja Azlan juga pernah membimbing Perak FA pada 2010 dengan menamatkan saingan liga di tempat ke-11 walaupun terdapat beberapa pemain senior yang meninggalkan pasukan itu berikutan isu kewangan.
Jurulatih berusia 53 tahun itu juga dikenali peminat tegar bola sepak tanah air dengan ketegasan dalam membimbing anak-anak buah dalam memastikan kecemerlangan setiap individu dapat dicapai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram