Pernah sebaris bintang Real Madrid, Alias Alan prospek yang kian dilupakan


  • Podium
  • Selasa, 27 Sep 2022

Alias Alan (kanan) bersama pemain B-23 skuad kebangsaan, Luqman Hakim. — Agensi

NAMA Mohammad Alias Alan mungkin kurang dikenali jika dibandingkan dengan rakan sebayanya seperti pemain kebangsaan Bawah 23 (B-23) Luqman Hakim Shamsudin dan Sikh Izhan Nazrel.

Tidak seperti rakan lainnya yang kini aktif bermain secara profesional di beberapa kelab samada dalam tanah air mahupun berkelana di luar negara, Alias Alan kini difahamkan tidak bermain dengan mana-mana pasukan.

Namun hakikatnya pemain muda itu merupakan prospek negara pada suatu ketika dahulu dan merupakan produk kelahiran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Akademi Mokhtar Dahari.

Kehilangannya dalam dunia bola sepak juga dikatakan berpunca daripada kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL) dan umum mengetahui ia memerlukan masa yang panjang sebelum kembali pulih.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Tawau, Sabah itu menjadi sebutan semula oleh para penyokong tanah air apabila dikatakan dia sudah sembuh dari kecederaan.

Namun, perkara sedih untuknya apabila dikhabarkan pemain berusia 20 tahun itu berkumungkinan akan berhenti dari bermain bola sekiranya tiada kelab ingin menandatanganinya.

ALAN

Alias Alan, merupakan pemain Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari. — Agensi

“Karier bola sepak Alias Alan berkemungkinan 50-50 pada musim hadapan. Jikalau tiada kelab yang mahu sign, Beliau akan berhenti dari bermain bola sepak profesional ! Salah seorang pemain terbaik Elite Cup 2016 bersama Camavinga suatu ketika dahulu ! Kini beliau baru pulih dari ACL,” tulis ciapan Onefootball.my.

Adalah sangat merugikan jika tiada satu pun kelab di Malaysia merekrutnya kerana rekod pemain muda ini sangat cemerlang sewaktu beraksi bersama pasukan NFDP.

Jika diimbau kehebatannya bersama pasukan NFDP, Alias Alan bertanggungjawab sebagai kapten dan berjaya membantu mencipta pasukannya mencipta sejarah apabila menjuarai kejohanan berprestij peringkat bawah umur, 2015 Ibercup Costa del Sol di Sepanyol.

WhatsApp Image 2022-09-27 at 3.57.08 PM

Pemain muda itu juga pernah dipilih sebagai kesebelasan terbaik Elite Cup Cote D’Azur 2016. — Twitter

Malah, pemain tengah itu juga pernah dipilih sebagai kesebelasan terbaik Elite Cup Cote D’Azur 2016 bersama rakannya Sikh Izhan dan lebih menarik lagi mereka disenaraikan bersama bintang Real Madrid, Eduardo Camavinga.

Dengan umur yang masih muda dan berpengalaman sebagai jeneral di atas padang, kelab-kelab Liga Malaysia perlu merekrutnya bagi membantu mengeluarkan semula potensinya.

Antara kelab yang mungkin boleh menggunakan khidmatnya ialah Selangor FC berikutan pengalamannya pernah beraksi bersama Selangor FC II dan mungkin negeri kelahirannya, Sabah FC.

Perak FC berkemungkinan menjadi destinasi sesuai buat Alias Alan kerana pengendali baharu The Bos Gaurus, Lim Teong Kim ingin memberi tumpuan kepada pemain muda tempatan berbanding import dalam kancah Liga M musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram