KEJAYAAN Terengganu membawa pulang ibu emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 lalu membuktikan bahawa tanah Darul Iman subur dengan ubi-ubi yang berkualiti dalam dunia bola sepak.
Tampil sebagai pasukan pilihan, skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu menang bergaya setelah menewaskan Pulau Pinang 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Pada perlawanan itu, ketua pasukan Peteh, Muhammad Safwan Mazlan terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-24 dan empat minit sebelum aksi tamat, sisa perjuangan Pulau Pinang berakhir selepas pertahanannya, Muhammad Aidil Azuan tertampan bola ke gawang sendiri untuk menghadiahkan gol kedua Terengganu.
Lebih mengagumkan, kejayaan ini bukanlah yang pertama buat pasukan dari Pantai Timur tersebut apabila pernah melakar hatrik dengan membawa pulang emas pada edisi 2008, 2009 dan 2010.
Pemain Sukma Terengganu tidak mendabik dada biarpun tampil sebagai pasukan pilihan. — Bernama
Kemenangan pada Jumaat lalu itu juga meletakkan Terengganu sebaris dengan Perak dan Pahang sebagai pasukan paling berjaya di pentas Sukma dengan empat kali muncul juara.
Ini membuktikan anak jati Terengganu memiliki kelas tersendiri dalam sukan bola sepak peringkat Sukma dan sekiranya digilap, mampu muncul sebagai permata pada masa depan.
Namun, lumrah dalam arena bola sepak negara, permata-permata berharga ini sering kali berada dalam radar pencari bakat dari Selatan yang terkenal dengan tindakan mereka mengumpul bakat-bakat serata Malaysia untuk dimasukkan ke dalam skuad Harimau Selatan.
Penyokong Terengganu, Iqie Muhammad meluahkan kegusarannya mengenai potensi ubi-ubi yang disemai di bumi Terengganu bakal diserap ke akademi lain sekali gus menyebabkan skuad Penyu ketandusan bakat.
Penyokong berharap pemain no. 10 dan pemain no. 24 antara yang perlu diikat. — Bernama
"Ramai pemain sukma Terengganu yang berbakat. Tapi hari tu dengar dalam radar Johor Darul Takzim sebab kontrak mereka dah nak habis. Semua itu atas pengurusanlah nak sambung kontrak mereka atau tidak.
"Harap-harap sambunglah. Mereka ada peluang yang cerah untuk diserap ke Terengganu FC II tu," katanya.
Mohd Huzairi menyambung: "Pengurusan jangan jadi bodohlah. Tak akan ubi molek bagi kat orang belaka. Biarlah ubi naik nama pasukan sendiri pula, Tawarlah kontrak baru pada ubi-ubi Terengganu. Tak dapat semua, dapat separuh pun tak apa.
"Harap Terengganu FC buat kerja cepat sikit, Orang politik usah kacau lah!," kata Faizal Azrin.
Irwan Muhammad memesan: "No. 10 dan No. 24 ubi manis tu, jaga molek. Banyak bakat istimewa tu." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram