'Ya' jawapan ringkas TMJ buat penyokong teruja, tak sabar nantikan JDT dan permainan FIFA23


  • Podium
  • Selasa, 27 Sep 2022

TMJ beri bayangan pasukan Harimau Selatan bakal berada dalam permainan FIFA23. — Facebook/JDT

BARU sahaja mengumumkan kerjasama bersama dengan platform penglibatan penyokong dan ganjaran terkemuka dunia, Socios.com, JDT dilihat tidak ternanti-nanti untuk terus mencipta sejarah.

Semuanya gara-gara perkongsian pemiliknya, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim menerusi ruang IG story instagram peribadi yang memaparkan aksi baginda sedang bermain FIFA 23.

FIFA 23 merupakan permainan video simulasi bola sepak masa depan yang diterbitkan oleh Electronic Arts dan dibangunkan oleh EA Sports.

Tangkap layar perkongsian Tunku Ismail menerusi ruang Insta Story baginda.

Permainan itu akan dilancarkan di seluruh dunia pada 30 September 2022 untuk PC, Nintendo Switch, PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X/ S dan Google Stadia.

Ini bermaksud, Tunku Ismail antara insan bertuah yang berpeluang bermain permainan tersebut sebelum ia berada di pasaran.

Biarpun keberuntungan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu bukan sesuatu yang aneh memangkan kedudukan sosio-ekonomi baginda, namun penyokong bola sepak tanah air teruja dengan kapsyen bersama gambar tersebut.

"Terima Kasih @easportsfifa dan @gb_gamesbond untuk salinan FIFA 23 yang ditaja. Saya sangat bebesar hati untuk menjadi antara insan pertama yang mencubanya. Saya menantikan lebih banyak kerjasama (bersama anda) pada masa akan datang," tulis baginda dalam ruang kapsyen bersama hashtag #FIFA23 #Easponsored #gamesbond #JDT

Tangkap layar perbualan antara penyokong dan Tunku Ismail di laman Twitter.

Melihat kepada perkongsian berkenaan, seorang penyokong bernama Hafiz Hariz tidak segan silu untuk mengajukan soalan berhubung hal tersebut kepada Tunku Ismail menerusi laman Twitter.

"So EA Sports incoming your Majesty? (Jadi seterusnya adalah EA Sports, Tuanku?)

Jawapan spontan Tunku Ismail terhadap pertanyaan itu adalah "Yes" (Ya).

Namun apabila disoal semula: "Bila pengumuman bahawa JDT akan ada di dalam FIFA 23?", baginda tidak menjawab setakat artikel ini ditulis.

Bayangan penyokong sekiranya JDT berada di dalam permainan FIFA23. — Facebook/Abe Hafeez

Sama ada jawapan 'ya' itu bermaksud pengesahan kepada sangkaan peminat atau sekadar salah faham, sama-sama kita nantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram