Hodak bengang tindakan Pan-gon, 2 pemain KL City umpama 'bercuti' di Chiang Mai


  • Podium
  • Rabu, 28 Sep 2022

Bojan berasa ralat melihat dua pemainnya hanya 'bercuti' sepanjang berada dalam kempen Piala Raja Thai, baru-baru ini.

KETUA jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Bojan Hodak mempertikaikan keputusan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon membawa pemainnya ke Piala Raja Thai setelah khidmat mereka tidak digunakan sepenuhnya.

Pada perlawanan tersebut, pemain sayap KL City, Declan Lambert hanya diturunkan selama 10 minit dalam perlawanan pertama menentang Thailand manakala pemain tengah, Zhafri Yahya hanya memanaskan bangku simpanan.

Menurut Hodak, dua anak buahnya itu sepatutnya membantu kelab mengharungi dua perlawanan Liga Super namun mereka hanya 'bercuti' sepanjang mewakili negara di Thailand.

Perlawanan Liga Super penting sebagai persediaan untuk perlawanan akhir Antara Zon Piala AFC menentang kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana di Stadium Sogdiana pada 5 Oktober nanti.

“Jurulatih Pan-gon hanya membawa Zhafri dan Declan pergi 'bercuti' di Thailand. Declan hanya diturunkan 10 minit sahaja di sana dan Zhafri langsung tidak berpulang buat penampilan antarabangsanya.

“Mereka sepatutnya bersama kami untuk perlawanan Liga Super menentang Pulau Pinang. Pan-gon boleh memilih pemain dari pasukan lain berbanding pemain saya.

"Tetapi dia bertegas mahu mereka berada dalam skuad Harimau Malaya. Tetapi lihat apa yang berlaku di Chiang Mai... dia hampir tidak menggunakan mereka langsung," katanya.

Jelas Hodak, dia tidak berniat untuk menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mereka pasti mengambil kira keperluaan jurulatih.

“Semasa saya menjadi jurulatih kebangsaan bawah 20 tahun, saya akan melepaskan beberapa pemain apabila kelab memerlukan mereka sekiranya ada perlawanan penting. Saya mempunyai pilihan untuk memanggil pemain lain.

“Kita semua mahu melakukan sesuatu untuk bola sepak Malaysia. Saya tidak menyalahkan FAM. Keputusan tersebut merupakan keputusan jurulatih. Saya merasakan bahawa kedua-dua Zhafri dan Declan membuang masa mereka di sana.” tegasnya.

Sebagai rekod, Hodak pernah memohon kepada FAM untuk mengecualikan dua pemainnya itu daripada menyertai misi negara kerana skuad Harimau Malaya hanya akan beraksi dalam pertandingan secara persahabatan.

Namun, pemintaan itu ditolak kerana Pan-gon mahu mengekalkan skuad 24 pemainnya, sekali gus memaksa KL melepaskan Declan dan Zhafri untuk Piala Raja Thai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram