JDT cipta sejarah ungguli Sukma 2022, sapu hampir semua pingat setiap acara


  • Podium
  • Sabtu, 24 Sep 2022

JOHOR Tze Yong antara penyumbang pingat emas buat kontinjen Johor dalam acara badminton perseorangan lelaki Sukma MSN 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu. — Bernama

DARIPADA hanya menyasarkan 55 pingat emas, Johor membawa pulang 77 emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang ditutup pada Sabtu, sekali gus memahat sejarah muncul juara keseluruhan.

Ini kali pertama dalam sejarah 36 tahun penganjuran Sukma, kontinjen Johor mengungguli carta pingat, dengan mengutip 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Terengganu yang turun sebagai juara bertahan menutup kempen di tangga kedua keseluruhan dengan 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa.

Wilayah Persekutuan di tangga ketiga dengan mengaut 55 emas, 68perak dan 64 gangsa, diikuti Sarawak (32-42-53).

Edisi Perak 2018, Johor mengakhiri cabaran di kedudukan kesembilan dengan jumlah 100 pingat - 29 emas, 34 perak dan 37 gangsa

Johor yang tampil dengan aura berbeza kali ini tidak pernah muncul juara keseluruhan sejak edisi Sukma Kuala Lumpur 1986.

Pada edisi sulung 1986, menyaksikan Johor mengakhiri cabaran di kedudukan kepalan dengan enam emas, lima perak dan enam gangsa dengan jumlah keseluruhan 17 pingat.

Pencapaian terbaik kontinjen Biru Merah sepanjang penyertaan Sukma pada edisi 1992 di laman sendiri apabila muncul naib juara keseluruhan dengan 20 emas.

Pencapaian kali ini juga menyaksikan peningkatan dari segi perolehan emas diraih kontinjen Johor dengan 40 emas kali terakhir diraih pada edisi Melaka 2010.

Dari segi acara pula, kayak menjadi lubuk emas buat kontinjen Biru Merah apabila meraih 23 emas diikuti olahraga (sembilan), berbasikal (11), renang (tujuh), wushu (enam).

Lapangan sasar menembak turut juga menyumbang lima, memanah (dua), judo (dua), silat (dua), angkat berat (dua), karate (satu), e-sukan (satu), petanque (satu), muaythai (satu), bola tampar (satu) dan badminton (satu).

Sementara itu, Kompleks Sukan Air, Presint 6 menjadi medan penguasaan bintang kayak Biru Merah, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize muncul penyumbang terbanyak pingat lelaki apabila menghadiahkan sembilan emas.

Kilauan emas hadir dalam acara kayak individu (K1) 200 meter (m) (0:39.832), K2 200m (0:37.459), K2 500m (1:43.045) NR, K2 1000m (3:35.500) NR, TBR 1000m (lelaki) (4:58.490).

TBR 500m (campuran) ( 2:26.321), TBR 500m (lelaki) (2:19.230), TBR 200m (lelaki) ( 0:54.850) dan TBR 200m (campuran) (0:57.723)

Penampilan sulung perenang, Tan Rouxin pula menyaksikan perenang itu menyambar enam emas dalam acara 50m kuak dada, 100m kuak dada, 200m kuak dada.

Atlet berusia 16 tahun itu juga unggul dalam acara 200m kuak lentang, 200m rampaian individu dan 100m kuak lentang sekali gus atlet wanita terbanyak merangkul pingat tersebut. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Johor, Johor juara Sukma, Johor Sukma