CHELSEA mengesahkan pemecatan ketua jurulatih, Thomas Tuchel selepas pasukan itu tewas kepada Dinamo Zagreb 0-1 dalam saingan Liga Juara-Juara pada Selasa.
Setelah berbelanja sakan pada musim panas termasuk pembelian pemain pertahanan Wesley Fofana, Kalidou Koulibaly dan Marc Cucurella, Chelsea hanya meraih dua kemenangan daripada enam perlawanan sekali gus menyebabkan The Blues ketinggalan lima mata dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Pasukan itu juga belum melakar sebarang kemenangan di pentas saingan Eropah.
Dalam perlawanan menentang Dinamo, The Blues mempamerkan aksi hambar apabila tewas 0-1 setelah Mislav Orsic menjaringkan gol tunggal permainan buat pasukan tuan rumah.
Pengumuman pemecatan Tuchel dikeluarkan kelab menerusi satu kenyataan rasmi pada Rabu.
"Bagi pihak Chelsea FC, kelab ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Thomas dan kakitangannya atas segala usaha mereka sepanjang mereka bersama kami.
"Thomas sepatutnya mendapat tempat dalam sejarah Chelsea selepas memenangi Liga Juara-Juara, Piala Super dan Piala Dunia Kelab sepanjang khidmatnya bersama kami.
“Memandangkan kumpulan pemilikan baharu mencecah 100 hari sejak mengambil alih kelab, pemilik baharu percaya sekarang adalah masa yang sesuai untuk melakukan peralihan ini demi membawa kelab ke hadapan.
“Kakitangan kejurulatihan Chelsea akan bertanggungjawab ke atas pasukan sama ada dari segi latihan dan persiapan perlawanan akan datang sementara pihak kelab melantik ketua jurulatih baharu.
"Tiada sebarang ulasan lanjut sehingga pelantikan ketua jurulatih baharu dibuat," kata kenyataan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram