Buat malu, cuma 79 tiket terjual game Penang-KL City, siap jadi bahan lawak penyokong Harimau Kumbang


  • Podium
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Penyokong Penang FC sudah semakin tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC

PASUKAN tercorot Liga Super, Penang FC bakal menerima kunjungan skuad yang ketika ini terbang tinggi, Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bandaraya pada Sabtu dalam perlawanan ke-19 musim ini.

Skuad Harimau Kumbang pastinya kecewa dengan kedudukan mereka ketika ini selepas satu musim yang membanggakan apabila pasukan itu menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga.

Kehilangan beberapa pemain utama seperti Al-Hafiz Harun dan David Rowley yang masing-masing menyertai Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC menyebabkan pasukan itu bergelut.

Tidak cukup dengan itu, konflik kejurulatihan yang dihadapi dengan pemergian pengendali kelahiran Republik Czech, Tomas Trucha menyebabkan Penang FC terumbang-ambing sepanjang musim.

Perkara itu menyebabkan peminat berasa kurang senang akan persembahan dan prestasi mereka ketika ini sehingga kurang semangat dan tidak berminat untuk menonton skuad itu beraksi secara langsung.

Menghadapi perlawanan bertemu pasukan di tempat keenam itu, Penang FC pastinya mengharapkan sokongan yang lebih baik untuk menaikkan moral kesemua pemain di padang.

Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila hanya 79 tiket dalam talian berjaya dijual dengan ia membuktikan keazaman yang semakin luntur dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang.

Perkara yang dikongsikan di laman Facebook rasmi Penang FC menerima respons yang pelbagai daripada penyokong dengan ramai melihat tarikan pasukan itu semakin pudar.

Seorang peminat bola sepak tempatan, Penang Brotherhood berkata, perkara itu tidak perlu dimuat naik kerana ia mencerminkan situasi yang dihadapi pasukan tersebut ketika ini.

"Benda buruk sebegini tidak perlu dikhabarkan kepada orang ramai sepatutnya. Buat malu diri sahaja," katanya sebagai respons kepada hantaran tersebut.

Perkara itu dipersetujui Muhammad Syameer yang berasakan kos untuk menonton Penang FC secara langsung di atas padang adalah tidak berbaloi jika melihat prestasi mereka ketika ini.

WhatsApp Image 2022-09-24 at 15.06.14

Hanya 79 tiket perlawanan antara Penang FC dan KL City FC dijual secara atas talian. Facebook/Penang FC

"Penat dah, jika kita hendak melalui tol sahaja sudah hampir mencecah RM10 untuk perjalanan pergi dan pulang sementara tiket pula berharga mencecah RM20, tetapi pemain pula beraksi seperti kanak-kanak sahaja," katanya.

Mohammad Haidil pula menjadikan hantaran itu sebagai bahan sindiran kepada pasukan itu dengan mengatakan angka yang dimuat naik tersebut adalah tidak tepat.

"Takkan 79 sahaja, pasti sebanyak 79,000 tiket yang telah dijual. Bukankah penyokong tidak sabar-sabar untuk melihat Penang FC mengekalkan rekod tanpa menang," katanya.

Ketika ini, Penang FC hanya berjaya mengumpul tujuh mata daripada 18 perlawanan berikutan hanya satu kemenangan dan empat keputusan seri yang berjaya dicatatkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram