Kehilangan barangan peribadi 'Datin' mati berdarah, polis Seremban buru Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil


  • 112
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Pihak polis menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita berusia lingkungan 70-an itu kira-kira pukul 8.25 malam. — Gambar Hiasan

SEORANG wanita warga emas ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada anggota badan di sebuah rumah di Jalan Kedidi 7, Taman Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita berusia lingkungan 70-an itu kira-kira pukul 8.25 malam.

Portal berita Sinar Harian melaporkan warga tua dalam lingkungan usia 70an itu juga berstatus 'Datin'.

"Siasatan mendapati beberapa barang peribadi milik wanita itu tiada dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Nanda berkata, polis meminta seorang lelaki, Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, beralamat di Kampung Berkat Chembong, Rembau, Negeri Sembilan tampil bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kejadian kepada Pegawai Penyiasat Asistan Superintenden Fauzan Azima Razak di talian 06-6033 222 dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram