KEKALAHAN pasukan Johor di tangan Wilayah Persekutuan dalam saingan suku akhir bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) pada Isnin membuatkan penyokong tempatan berterusan mempertikaikan kualiti 'ubi muda' Harimau Selatan.
Pada aksi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu, pasukan Wilayah Persekutuan memadam cabaran Johor menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan.
Penjaga gol Wilayah Persekutuan, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin muncul wira pasukan dengan menyelamatkan empat sepakan penalti Johor, sebelum turut menyempurnakan sepakan penanti yang membolehkan pasukannya menempah slot separuh akhir.
Keputusan tersebut secara tidak langsung menyebabkan hajat skuad Sukma Johor yang diwakili kelab Johor Darul Takzim III (JDT III) untuk membawa pulang ibu emas gagal pada edisi kali ini.
Melihat kepada situasi tersebut, penyokong mula mempersoalkan kebolehan ketua jurulatih JDT III, Javier Jorda Ribera untuk membentuk pemain masa depan buat skuad Harimau Selatan itu.
Kesebelasan utama Sukma Johor yang terpaksa pulang tanpa ibu emas. — Facebook/ JDT III
Penyokong JDT, Aan Cbr berkata: "Main tak ada kesungguhan langsung. Main asal boleh, hantaran bola semua ke 'laut'. Ini ke pelapis Johor akan datang? Elok siasat balik mana yang layak wakil JDT.
"Tengok corak permainan tadi, saya pun pelik macam mana boleh wakil Sukma? Ada seorang dua je yang bagus. Bila kritik nanti, kita akan dikritik balik. Tapi siapa tengok siaran langsung tadi, fahamlah," sambung Merah Hitam.
Kamarul Rasydan Tarmizi menyambung: "Pada aku, semangat tak ada. Badan berat."
"Dengan Sukma KL pun tak lepas, ini ke ubi muda JDT?" soal Huwaina Leia.
"Tiada DNA JDT dalam pasukan ini. Permainan tidak bersemangat, tak laju, tak pandai kawal bola, tak mampu segera pulih setelah hilang bola. Pendek kata, tukar jurulatih!," tegas Yas dalam pada laman komen Facebook Johor Southern Tigers.
Kekalahan tersebut bermakna penantian Johor untuk meraih ibu segala pingat emas sejak temasya Sukma diperkenalkan pada 1986 belum ternoktah.
Untuk rekod, Javier telah membantu skuad JDT III menjuarai Piala Presiden dengan menewaskan Sri Pahang pada perlawanan akhir, Ogos lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram