Prestasi makin baik, Stadium Darul Aman bakal 'full house' 3 perlawanan ini


  • Podium
  • Isnin, 19 Sep 2022

Kedah mengharapkan sokongan penyokong seramai 10,000 di Stadium Darul Aman.

MEMPAMERKAN aksi permainan yang cemerlang dalam perlawanan Liga Super menentang Selangor FC, Penang dan Melaka United, skuad Sang Kenari meletakkan harapan dapat meraih 10,000 penyokong hadir ke Stadium Darul Aman.

Perkara itu melibatkan perlawanan menentang tiga pasukan sepanjang Oktober iaitu PJ City FC pada 1 Oktober, Johor Darul Takzim (JDT) (4 Oktober) dan Terengganu FC (15 Oktober).

Menerusi perkongsian di Facebook Kedah Darul Aman FC, pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak itu memerlukan suntikan semangat daripada penyokong sekali gus berjaya memperoleh kejayaan.

“Ayuh sahut cabaran ini wahai penyokong hijau kuning. Angka 5,078 dicatat dalam aksi bertemu Selangor FC. Kami mahukan misi seterusnya dalam tiga perlawanan cukup genting pada 1, 4 dan 15 Oktober ini di Stadium Darul Aman capai sasaran untuk mencecah lebih 10,000 penyokong.

“Pasukan Sang Kenari sudah menyahut cabaran untuk memperbaiki prestasi semasa dengan tiga kemenangan berturut-turut. Kini sampai masanya penyokong hijau kuning pula membuktikan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman.

“Ayuh sahut cabaran ini tiada yang mustahil kembalikan aura 25,000 penyokong hijau kuning. Mari kita penuhkan setiap pelusuk ruang bagi menggerunkan lawan,” tulisnya.

Menyambut baik perkara itu, beberapa penyokong meluahkan rasa solidariti mereka di Facebook dan mengharapkan impian tersebut akan terlaksana terutama ketika menentang pasukan JDT.

majoriti2022

Tangkap layar sokongan peminat terhadap skuad Sang Kenari.

“insya-Allah. Kami selalu ada walau menang, walau kalah. Hijau kuning tetap di hati. Pulun Kedah pulun,” kata Zahraa Zahraa.

“Lawan JDT nanti full house,” kata Md Khairull.

“Lawan JDT auto ramai,” kata Fakhrul Hadi.

Untuk rekod, kemenangan Kedah 3-0 terhadap Melaka United pada 9 September lalu meletakkan pasukan itu di tangga kelima dengan mengumpul 27 mata.

Pasukan ini turut memiliki masa dua minggu untuk proses pemulihan dan kecergasan sebelum menyambung aksi berdepan PJ City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram