SELEPAS empat tahun menabur bakti bersama Terengganu FC, ketua jurulatih, Nafuzi Zain kelihatan semakin hampir untuk meninggalkan pasukan itu bagi mencari nafas baharu dalam karier kejurulatihannya.
Meskipun tidak berjaya menamatkan penantian bertahun-tahun untuk menjulang trofi, prestasi dan kemampuannya dalam mengasah bakat-bakat baharu menarik minat beberapa pasukan Liga Malaysia.
Tidak cukup dengan itu, usianya yang masih muda memberi bayangan bahawa dia mampu membimbing sesebuah pasukan dalam jangka masa panjang sambil menerapkan falsafah bola sepaknya.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Terengganu FC perlu bekerja keras dalam mendapatkan seorang pengendali yang lebih berpengalaman dan berkualiti.
Baru-baru ini, Nafuzi berkata, musim ini sepertinya musim terakhir buat pengendali itu bersama skuad Sang Penyu selepas berjaya membawa pasukan itu di tangga keempat liga dan perlawanan akhir Piala FA 2022.
Perkara itu pasti memberi amaran awal kepada pihak pengurusan Terengganu FC untuk mendapatkan seorang ketua jurulatih yang berpengalaman dan berkualiti dalam membimbing mereka musim depan.
Selain itu, perubahan struktur liga dan peluang cerah untuk beraksi di pentas Asia memerlukan satu figura yang berkebolehan apabila harapan diberikan penyokong pastinya besar.
Namun, persoalannya, siapakah yang layak mengisi kekosongan itu sekiranya Nafuzi benar-benar mengambil langkah meninggalkan pasukan Pantai Timur itu dalam usaha mendapatkan lebih banyak pengalaman.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Zainal Abidin Rawop, tiada individu yang ketika ini kelihatan sesuai untuk mengendalikan pasukan itu dalam tempoh masa yang panjang.
Cheng Hoe mampu meneruskan prestasi atas padang sekiranya Nafuzi Zain meninggalkan kelab itu.
"Secara spesifik, sebenarnya saya masih tidak nampak siapa jurulatih yang paling sesuai, tetapi untuk Terengganu FC dan pihak pengurusan bola sepak negeri itu, mereka boleh meninjau dari dalam dan luar negara," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, Sang Penyu merupakan salah satu pasukan yang mampu mencabar dominasi Johor Darul Takzim dalam arena bola sepak negara selagi pihak pengurusan membuat pelaburan yang mencukupi.
"Saya nampak Terengganu FC dengan bantuan dan juga sokongan daripada pihak pengurusan adalah pasukan yang boleh mencabar kejuaraan liga dalam tempoh jangka masa panjang.
"Tetapi, ada syarat kerana para pemain sepatutnya muncul sebagai watak yang penting kerana jurulatih ini dalam bola sepak ibarat tukang masak manakalah pemain ibarat rempah dan bahan masakan," katanya.
Namun, Zainal Abidin berkata, bekas pengendali Kedah FA, Tan Cheng Hoe merupakan salah seorang calon paling sesuai untuk menggantikan Nafuzi berdasarkan pengalaman dan kejayaannya.
"Saya boleh bagi satu cadangan iaitu, sekiranya Cheng Hoe masih tidak terikat dengan mana-mana kelab lain, mungkin Terengganu FC boleh mendapatkan khidmatnya kerana dia mempunyai kebolehan di peringkat kebangsaan dan juga peringkat antarabangsa.
"Tetapi, pihak pengurusan perlu beri sokongan penuh dan tidak perlu ada tindakan di belakang tabir sebagai satu watak utama dalam sebuah pasukan, terutamanya dalam jendela perpindahan," katanya.
Cheng Hoe ketika ini tidak menyandang apa-apa jawatan setelah kali terakhir menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya namun mengundur diri akibat kegagalan pasukan itu untuk melepasi peringkat kumpulan pada saingan Piala AFF 2020.
Namun, pengendali berusia 54 tahun itu juga pernah menjulang namanya sendiri selepas menjulang Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017 bersama Kedah FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram