NASIB skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara untuk mara ke Piala Asia B-20 di Uzbekistan tahun depan mencetuskan tanda tanya selepas tewas 6-2 kepada Korea Selatan di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia pada Ahad.
Ternyata Korea Selatan berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai sebahagian besar perlawanan dengan Lee Yong Jun meledak hatrik, manakala Malaysia pula terpaksa beraksi 10 pemain akibat kad merah.
Skuad bimbingan Hassan Sazali Waras memulakan aksi dengan positif apabila berjaya mengekang asakan Korea Selatan dan peluang hadir pada minit ke-27, namun rembatan jarak dekat Haiqal Haqeemi berjaya ditepis penjaga gol lawan.
Asakan bertali arus Korea Selatan akhirnya membuahkan hasil apabila Yong Jun meledak pada minit ke-34 untuk membuka tirai jaringan pasukannya.
Tersentak dengan gol itu, Malaysia menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan, namun tendangan Adam Farhan Faizal pada minit ke-37 dinafikan penjaga gol Korea Selatan.
Penjaga gol muda negara, Syahmi Adib wajar diberikan pujian apabila bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pemain Korea Selatan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh pertama.
Bersambung babak kedua, Korea Selatan mengekalkan penguasaan bola dan berjaya menyumbat gol kedua pada minit ke-50 melalui Bae Junho.
Skuad muda negara kemudian membuat pertukaran dengan membawa masuk Haykal Danish.
Percaturan itu berbaloi apabila Haykal berjaya melakukan hantaran lolos kepada Adam Farhan yang merembat masuk untuk merapatkan kedudukan menjadi 2-1 pada minit ke-55.
Keceriaan Malaysia hanya bertahan dua minit apabila Korea Selatan pantas menambah gol ketiga hasil jaringan kapten pasukan, Lee Seung-won.
"Pada minit ke-66, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas pemain pertahanan tengah, Ubaidullah Shamsul yang membantah keputusan penjaga garisan memberi sepakan sudut mengundang padah apabila dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah.
Walaupun kurang seorang pemain, skuad negara berjaya merapatkan kedudukan menjadi 3-2 selepas Aliff Izwan Yuslan menyumbat gol pada minit ke-68.
Bagaimanapun skrip kemudian berubah selepas lima minit apabila Yong-jun sekali lagi menambah jaringan buat Korea Selatan pada minit ke-74 sekali gus menjarakkan kembali kedudukan menjadi 4-2.
Pemain Malaysia terus hilang fokus dan Yong-jun melengkapkan hatriknya pada minit ke-81 hasil percubaan jarak dekat.
Pesta gol Korea Selatan seakan tidak dapat dibendung apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti dan Lee Seung-won mudah menyempurnakannya untuk menjadikan kedudukan 6-2.
Keputusan itu menyaksikan Korea Selatan menempah slot ke Piala Asia B-20 di Uzbekistan selaku juara Kumpulan E, sementara Malaysia yang muncul naib juara kumpulan perlu menunggu keputusan kumpulan lain untuk melihat sama ada layak atau sebaliknya.
Juara kumpulan layak secara automatik dan lima naik juara terbaik daripada 10 kumpulan akan mendapat slot ke pusingan akhir Piala Asia B-20 tahun depan. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram