Jika Nafuzi angkat kaki, Sang Penyu perlu seorang yang lebih berkualiti — Zainal


  • Podium
  • Khamis, 15 Sep 2022

Baru berusia 43 tahun, Nafuzi Zain menarik minat daripada pelbagai pasukan Liga Super. — Facebook/Terengganu FC

KETUA jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain pada Rabu memberi bayangan bahawa dia tidak akan bersama skuad Sang Penyu musim depan, sekali gus mencetuskan spekulasi ke mana arah tujunya selepas ini.

Setelah berjaya membawa Terengganu ke perlawanan akhir Piala FA, pengendali kelahiran Kelantan itu dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Liga Super yang lain selepas kemampuan dan pendekatan taktikalnya jelas membuahkan hasil.

Selain itu, usianya yang masih muda juga menjadi satu tarikan kepada sesebuah pasukan untuk membina satu masa depan yang lebih cerah tanpa perlu memikirkan petukaran ketua jurulatih setiap musim.

Persoalannya, destinasi manakah yang sesuai untuk Nafuzi mengembangkan kariernya selain meraih lebih banyak pengalaman dan kejayaan tanpa memberi kesan kepada kedua-dua pihak?

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Zainal Abidin Rawop, sekiranya Nafuzi memilih untuk menyertai pasukan lain, perkara itu mampu menambah pengalamannya dalam bidang kejurulatihan.

"Andainya Nafuzi Zain memikirkan untuk pergi ke kelab lain, ini amat dialu-alukan kerana dia mungkin berasakan masa untuknya dalam pasukan itu sudah tamat.

"Tetapi, sejujurnya, saya pun tidak pasti destinasi terbaik untuknya kerana ia bergantung kepada tawaran yang diterima dengan melihat kepada kelebihan yang boleh diterimanya dalam jangka masa panjang," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, Nafuzi dilaporkan menolak laporan yang mengatakan bahawa dia telah menerima satu tawaran daripada Selangor FC dengan mengatakan ia hanyalah satu khabar angin.

The Red Giants kelihatan sebagai destinasi sesuai untuk Nafuzi melihat kepada kestabilan kewangan dan status Nidzam Jamil yang masih bergelar ketua jurulatih interim.

Namun, Zainal Abidin tidak menolak kemungkinan bahawa pihak pengurusan Terengganu FC akan menawarkan sambungan kontrak buat Nafuzi untuk mengekalkannya musim depan.

WhatsApp Image 2022-09-15 at 18.21.54

Pemerhati bola sepak, Zainal Abidin Rawop. Stadium Astro

"Tetapi, saya percaya sebelum Nafuzi angkat kaki, pihak pengurusan akan cuba untuk membuat tawaran kedua kepadanya supaya dia dapat kekal untuk sekurang-kurangnya setahun lagi," katanya.

Mengulas lanjut, pengulas sukan itu tidak melihat kesan besar terhadap pasukan dan bola sepak negeri itu sekiranya pemergian Nafuzi tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, perkara itu bergantung kepada nama yang bakal mengisi kekosongan itu apabila mereka memerlukan seseorang yang berpengalaman dan mempunyai pencapaian yang membanggakan.

"Pada saya, kesannya tidak apa-apa jika Terengganu FC berjaya mendapatkan seorang pengendali yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan luas dan mereka pasti mampu memastikan kesinambungan daripada skuad yang sedia ada ini.

"Lagipun, saya nampak, negeri itu ada ramai bintang-bintang baharu daripada peringkat remaja sehingga ke peringkat senior, tetapi pihak pengurusan perlu mengenal pasti barisan pemain yang boleh bermain di tahap tertinggi," katanya.

Zainal Abidin turut berkata, sekiranya pemain sayap kanan Sang Penyu, Faisal Halim mengikut jejak ketua jurulatih itu, penyokong perlu terbuka untuk menerima perkhabaran itu.

Meskipun pemain berusia 24 tahun itu merupakan antara tonggak musim ini, destinasi untuk meneruskan kariernya adalah berada bawah keputusan dan perkiraan Faisal sendiri.

"Andai kata, kedua-dua mereka tidak boleh dipisahkan, ini bermakna mereka adalah sepadan untuk berada di mana-mana pasukan kerana kesesuaian di antara mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram