KHABAR angin mengenai pembatalan perjanjian pinjaman Arthur Melo pada Januari ditepis sumber Liverpool yang mendakwa kelab tersebut tidak berniat untuk melakukan perkara tersebut.
Sebagai rekod, The Reds menandatangani pemain antarabangsa Brazil itu secara pinjaman daripada Juventus pada hari tarikh akhir perpindahan.
Pasukan gergasi Sirie A itu kemudiannya menyatakan bahawa Liverpool mempunyai pilihan untuk membuat perpindahan kekal sekitar £32 juta (RM65,201,705) pada akhir musim ini.
Namun, media antarabangsa melaporkan Liverpool tidak berpuas hati dengan pembelian Arthur sejak mula lagi.
Ini kerana pemain berusia 26 tahun itu dikatakan tidak berada di tahap yang dijangkakan dan tidak sesuai dengan jenis pemain yang dicari pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
Arthur menyertai Liverpool sebagai pemain pinjaman. — Agensi
Laporan itu turut mendakwa The Reds mahu menandatangani pemain tengah baharu pada Januari dan, jika mereka berjaya, mereka akan menamatkan pinjaman Arthur dan menghantarnya kembali ke Turin.
Tetapi dakwaan ini telah ditolak oleh pemerhati bola sepak Sepanyol, Guillem Balague yang mempunyai pengalaman menonton Arthur semasa pemain tengah tersebut beraksi bersama pasukan Barcelona.
“Mereka masih menilai dia. Malah staf kejurulatihan mengucapkan tahniah kepadanya di atas pemahamannya tentang sistem dan kualiti pasukan tersebut.
“Liverpool belum memutuskan untuk melanjutkan pinjaman atau membeli Arthur tetapi tidak berhasrat untuk menghantarnya kembali pada Januari,” tulis Balague di Twitter. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram