KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sebelum ini memberi peluang naturalisasi kepada pemain luar untuk mewakili skuad kebangsaan dianggap tindakan yang tidak berbaloi.
Perkara itu dinyatakan oleh pemerhati sukan, Asan Ahmad yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu yang merugikan.
Katanya, Malaysia masih lagi melihat pemain luar itu sebagai aset yang boleh dibanggakan dan kononnya bertaraf antarabangsa.
“Kita ini masih menghormati pemain luar sedangkan mereka ini tidak memiliki prestasi yang bagus. Kita sendiri mempunyai tahap dan kualiti pemain hebat yang wajar ditengahkan.
“Seharusnya jika kita ingin mengambil keputusan naturalisasi, buatlah pemilihan yang tepat agar dapat memberikan keuntungan.
“Tidak boleh sekadar tangkap muat lebih-lebih lagi pemain yang sudah berada di penghujung usia. Kita juga ada pemain muda yang boleh diberi perhatian,” katanya kepada Majoriti.
Asan memberikan reaksi tersebut ketika mengulas tentang pandangan mengenai pemain naturalisasi yang diluahkan warganet di Twitter.
Tangkap layar ciapan pengguna media sosial di Twitter.
Mengulas lanjut, Asan memberitahu, kebanyakan pemain yang bermain dalam Liga Malaysia mempamerkan aksi permainan seakan sama dengan pemain tempatan.
“Tidak salah untuk memberi status naturalisasi kepada pemain tetapi biarlah mereka yang berkualiti dan bertaraf dunia.
“Sebahagian pula dipilih seperti memiliki paras rupa menarik. Adakah kita hendak mencari pemain atau model?” soalnya.
Sementara itu, mengulas mengenai kelayakan Malaysia ke Piala Asia 2023 disebabkan kehadiran pemain luar nyata tidak boleh digunapakai 100 peratus, tegas Asan.
Katanya, sebagai sukan yang bermain secara berpasukan hal tersebut seakan mencerminkan berat sebelah dan disifatkan tidak adil buat pemain tempatan.
“Pada saya kita patut berterima kasih kepada pandemik Covid-19 yang secara tidak langsung membantu untuk layak ke Piala Asia 2023.
“Melihat kepada kelonggaran ketika perlawanan kelayakan berlangsung, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah.
“Itu saja sudah memberikan kita banyak kelebihan kerana bermain di tempat sendiri berbanding jika tiada pandemik, kita perlu ke tempat lawan,” jelasnya.
Kejohanan Piala Asia 2023 dijadualkan bermula 16 Jun hingga 16 Julai tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram