PENANTIAN Johor Darul Takzim (JDT) untuk menjuarai Piala FA berakhir apabila mereka berjaya muncul sebagai juara setelah menumpaskan kelab pantai timur, Terengganu FC.
Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), JDT tidak menunggu lama untuk menampilkan semangat dan keazaman apabila mereka terus menyerang kubu pertahanan Sang Penyu.
Meskipun terdapat kelekaan awal sehingga membolehkan Kipre Tchetche mendapat peluang keemasan, penjaga gol, Farizal Marlias beraksi cemerlang untuk menidakkan percubaan pemain import itu.
JDT juga tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pertama perlawanan apabila Arif Aiman Hanapi tenang menewaskan Rahadiazli Rahalim pada minit ke-34 permainan.
Selepas tenang menerima bola daripada Leandro Velazquez, pemain muda itu tidak gopoh untuk melakukan percubaan selepas mudah mengelirukan pertahanan kiri Terengganu FC, Alif Zakaria.
Namun, di sebalik kejayaan Arif Aiman, segelintir penonton yang melihat ulang siar mengatakan lontaran ke dalam oleh Fernando Forestieri adalah lebih jauh daripada kawasan bola itu keluar.
Kecemerlangan Arif Aiman membolehkan dia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Dalam satu hantaran di Facebook Semuanya BOLA Group, seorang penyokong mengatakan pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin tidak dapat mengenal pasti kawasan bola tersebut dikeluarkan.
"Gila punya pengadil, bola keluar dari garisan ketika hampir dengan kawasan teknikal kedua-dua pasukan, tetapi lontaran ke dalam terlalu jauh ke depan?" katanya.
Hantaran itu dibuat bersama sebuah foto yang melihatkan Corbin Ong bersedia untuk melakukan lontaran ketika masih berada berhampiran garisan tengah padang.
Namun, sekiranya diperhatikan ulang tayang dengan lebih tepat, tindakan untuk melakukan lontaran itu adalah tidak melanggar peraturan apabila ia masih tidaklah sejauh mana seperti apa yang dikatakan.
Perkara ini dilihat apabila Forestieri melontar bola itu hampir dengan kawasan di mana pertahanan Sang Penyu, Pape Diakite menanduk bola tersebut keluar daripada padang.
Bagi penyokong bola sepak, Muhammad Sufi, dia melihat keputusan itu adalah tepat selain mengakui kejituan barisan pemain JDT meskipun merupakan seorang penyokong Terengganu FC.
Segelintir penyokong mengatakan kawasan 'throw-in' terlalu jauh. — Media sosial
"Sudahlah untuk menyalahkan pengadil, sekiranya mereka tidak membuat keputusan yang betul sekalipun kita bermain dengan tidak baik, macam itulah juga keadannya.
"Terimalah hakikat bahawa JDT sememangnya berada di tahap yang lebih baik dan untuk Terengganu FC pula, jangan pernah mengalah dan menyerah," katanya.
Bagi Taka Taka Kio Peer pula, alasan sebegitu tidak perlu diberikan apabila penyokong perlu bersikap terbuka hati dengan setiap keputusan yang dicatatkan.
"Sebagai penyokong, terimalah kekalahan dengan hati yang terbuka dan satu pengajaran untuk penyokong Terengganu FC, janganlah sibuk untuk melihat kelemahan pasukan lain dan sibuklah cuma dengan kenaikan pasukan sendiri," katanya.
Mohd Khairuddin juga tidak melihat kesalahan perlu diberikan kepada pengadil perlawanan, sebaliknya perlu menilai semula kemampuan dan persembahan Terengganu FC.
"Pada aku, pengadil sudah melakukan yang terbaik. Sebenarnya Terengganu FC kalah kerana tiada kesegaran dalam permainan dan gagal untuk memanfaatkan segala peluang yang terhidang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram