'Tolong rehatkan Apek, berilah peluang sama Damien jaga gol Sabah FC'


  • Podium
  • Khamis, 08 Sep 2022

Damien hanya beraksi bersama Sabah FC pada kempen Piala FA setakat ini. — Facebook/Sabah Football Club

KETIKA ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee membawa masuk Khairul Fahmi Che Mat dan Damien Lim untuk memegang posisi benteng terakhir skuad tersebut pada awal musim lalu, ramai yang telah menjangkan akan berlaku persaingan sengit di antara dua pemain tersebut.

Khairul atau lebih mesra dengan panggilan Apek merupakan pemain lebih berpengalaman berbanding Damien yang hanya memulakan karier sebagai pemain senior pada 2016.

Kelebihan dimiliki Apek secara tidak langsung dijangka akan mempengaruhi keputusan Kim Swee dalam memilih pemain yang akan diturunkan sebagai penjaga gol utama setiap kali perlawanan melibatkan skuad Sang Badak.

Tepat tekaan ramai, Apek sememangnya diturunkan bersama kesebelasan utama di 17 perlawanan Sabah FC dalam Liga Super dengan 1,530 minit permainan setakat ini.

Manakala Damien hanya diberikan peluang untuk turun pada tiga perlawanan Piala FA bersama Sabah FC dan mengumpul 300 minit perlawanan.

Apek diberi lebih kelebihan berbanding Damien dalam menjaga benteng terakhir Sabah FC. —Facebook/ Sabah Football Club

Melihat kepada situasi tersebut, penyokong Sabah menerusi Group Buletin Arena Sabah FC meluahkan harapan agar pemain berusia 25 tahun itu diberi lebih peluang kerana dia juga memiliki kemahiran yang tidak patut diperam sahaja.

"Damien Lim, bila diberi peluang beraksi, dia bagi 100 peratus. Ada kemahiran dan boleh jadi penjaga gawang yang sangat bagus.

"Tapi sayang terpaksa bersaing dengan Apek, the legend. Good Luck Bro!," katanya.

Usah Kalanos menambah: "Itulah masalahnya. Patut pemain-pemain muda diberi peluang untuk mengasah bakat dan pengalaman yang mendewasakan. Parang tajam kalau lama tak diasah, tumpul juga akhirnya.

"Harap dia (Damien) diberi peluang pada kempen Piala Malaysia," kata Sham Zam.

Atok Muda turut mencelah: "Mainlah berganti-ganti. Damien bukan cap ayam. Apek pun begitu. Tapi sekurang-kurangnya tenaga muda ini ada kelebihan berbanding yang berusia." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram