Ditewaskan Real Sociedad, MU batal sidang media tanda hormat kemangkatan Ratu Elizabeth II


  • Podium
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Ratu Elizabeth II mangkat beberapa jam sebelum aksi MU-Sociedad bermula. — Agensi

MANCHESTER United membatalkan semua aktiviti media berikutan kekalahan 0-1 di tangan Real Sociedad dalam aksi Liga Europa pada Jumaat bagi menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Kempen Liga Europa The Red Devils musim ini bermula dengan kekalahan, apabila sepakan penalti Brais Mendez pada minit ke-59 membantu pasukan pelawat meraih kemenangan pada saingan yang sengit itu di Old Trafford.

Pengurus United, Erik Ten Hag tidak bercakap dengan media rasmi mereka iaitu MUTV, mana-mana pemegang hak UEFA atau menghadiri sidang media selepas perlawanan.

Kelab itu memutuskan untuk mengurangkan semua aktiviti media selepas ratu kesayangan ramai itu dilaporkan mangkat di Istana Balmoral, Scotland, beberapa jam sebelum perlawanan bermula.

Keengganan untuk bertemu dengan pihak media juga bermakna Ten Hag tidak akan memberi sebarang ulasan sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Crystal Palace yang dijadualkan berlangsung pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta juga tidak memenuhi sebarang kewajipan sidang media selepas meraih kemenangan 2-1 Liga Europa mereka ke atas Zurich FC.

Berikutan kemangkatan Ratu Elizabeth II, semua program sukan pada Jumaat ditangguhkan atau dibatalkan sebagai tanda penghormatan, termasuk hari kedua perlawanan Ujian England menentang Afrika Selatan, Kejohanan golf PGA BMW di Wentworth dan semua perlawanan perlumbaan.

Perlawanan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) antara Burnley dan Norwich serta antara Tranmere dan Stockport dalam Liga Dua juga telah dibatalkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram