Final Piala FA, Harimau Selatan ada kejutan buat Sang Penyu


  • Podium
  • Khamis, 08 Sep 2022

TFC dan JDT bakal membuat perhitungan untuk memburu trofi Piala FA, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. — Facebook/ MFL

BAHANG Piala FA semakin terasa menjelang aksi peringkat akhir antara Terengganu FC dan Johor Darul Takzim (JDT), pada Sabtu ini.

Kedua-dua pasukan memiliki kekuatan dan kelebihan tersendiri yang sekali gus bakal menyaksikan saingan sengit bagi merebut trofi berprestij itu.

Jika JDT selaku gergasi Liga Super berada dalam kelas tersendiri, apa kurangnya dengan TFC yang membariskan pemain yang berkualiti sama ada kesebelasan utama atau di bangku simpanan.

TFC pastinya menurunkan tonggak utama seperti Pape Diakite, Manuel Ott dan Kipré Tchetche.

Selain awang import, bintang sayap lincah, Faisal Halim juga pastinya akan menjadi taruhan Sang Penyu yang cemerlang di bawah kendalian jurulatih muda, Nafuzi Zain.

Di posisi pertahanan, Diakite dijangka bergandingan dengan Shahrul Nizam Ros Hasni, Muhammad Azam Azmi Murad dan Muhammad Alif Zakaria.

Berbeza dengan TFC, Harimau Selatan di bawah bimbingan Hector Bidoglio pula bakal mencipta kejutan dengan menurunkan Syamer Kutty Abba di bek pertahanan.

301214409_2381460132017272_8482701646148679191_n

Syamer Kutty bersama pemain JDT lain dirakam ketika dalam perjalanan menaiki bas ke Kuala Lumpur menjelang aksi final Piala FA. — Facebook

Ini selepas laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers berkongsi gambar terbaharu Syamer Kutty bersama pemain JDT lain ketika dalam perjalanan menaiki bas ke Kuala Lumpur menjelang aksi final Piala FA.

Untuk rekod, pemain berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan lutut serius dan menjalani pembedahan di Barcelona, Sepanyol di bawah pemantauan Dr Juan Manuel Boffa yang juga merupakan doktor konsultan kepada Manchester City.

Rata-rata penyokong teruja melihat pemain kesayangan mereka dan berharap dia mampu memberikan aksi terbaik dalam perlawanan pada Sabtu nanti.

"Dah sihat ke tu? Terbaik kalau dia ada," ujar Aris Ahmad.

Kata Alia Liyana, "Syamer ni rajin...harap dapat main final nanti."

Sementara itu, Aiman Aiman berpendapat, Syamer Kutty perlu mendapatkan kecergasannya semula sebelum boleh diturunkan.

"Dia ni baru lepas injured pastu tiba-tiba nak main, memang tak dapatlah lagi-lagi ini final, bukan masa nak eksperimen," katanya.

Selain kelibat Syamer Kutty, seorang lagi tonggak JDT yang mencuri tumpuan adalah Jordi Amat yang melakukan debut ketika perlawanan menentang Urawa Red Diamonds pada 19 Ogos lepas.

302722992_2381460085350610_7397956912278035477_n (1)

Jordi Amat juga antara pemain dalam skuad menjelang aksi final Piala FA. — Facebook

Siapa tahu pemain termahal Liga Malaysia itu mungkin akan digandingkan dengan tanker JDT, Shahrul Saad yang sering beraksi bersama Shane Lowry di atas padang.

"Fuhhhh amat-amat teruja kalau dia dapat pamerkan cara permainan dia yang sebenar. Buktikan pada penyokong JDT," kata Afiz Shain Shah.

Kali terakhir Terengganu menjulang trofi Piala FA pada 2011 menundukkan Kelantan 2-1 ketika bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

JDT turut berazam membawa pulang trofi Piala FA selepas kali terakhir kelab gergasi bola sepak negara itu muncul juara pada 2016. — Majoriti