Bergson mahu beri yang terbaik, Safawi waspada strategi TFC


  • Podium
  • Khamis, 08 Sep 2022

Bergson akan cuba memastikan mampu berada di kemuncak prestasi seperti mana dalam kebanyakan perlawanan sebelum ini selain meneruskan momentum jaringan bersama pasukan.— Facebook/ Johor Southern Tigers

PENYERANG Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva berazam akan memberikan permainan yang terbaik pada pentas akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ini bagi membolehkan Harimau Selatan menamatkan badi selepas enam musim tidak membawa pulang Piala FA ke bumi Johor.

Menurut Bergson, dia akan cuba memastikan mampu berada di kemuncak prestasi seperti mana dalam kebanyakan perlawanan sebelum ini selain meneruskan momentum jaringan bersama pasukan.

Dalam masa sama, penyerang berusia 31 tahun dari Brazil berkenaan berharap peminat-peminat JDT dapat memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari perlawanan untuk menjadi pemain ke-12 pasukan.

“Sepanjang tempoh persiapan ke final, kami akan perbaiki segala kekurangan serta cuba berada di tahap terbaik supaya segalanya akan berjalan lancar pada hari perlawanan.

“JDT sudah lama tidak menang dalam kejohanan Piala FA dan sudah tentu saya serta rakan sepasukan akan berikan segalanya pada perlawanan akhir ini.

“Saya berazam untuk berada di tahap terbaik pada hari perlawanan dan cuba ulangi prestasi yang sama seperti mana yang dilakukan pada perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Kepada penyokong JDT, saya harap semua dapat hadir ke Stadium Nasional kerana kami amat perlukan anda sebagai pembakar semangat dan kami akan berikan yang terbaik untuk anda semua,” katanya.

Bergson yang pastinya menjadi tumpuan utama di perlawanan akhir Piala FA 2022, setakat ini telah meledak 23 gol secara keseluruhan dengan 21 daripadanya di Liga Super dan 2 di Piala FA.

Sementara itu, seorang lagi penyerang JDT, Safawi Rasid tidak akan melepaskan peluang untuk menggalas tugas sebaik mungkin sekiranya diberi kepercayaan memandangkan ini adalah aksi pertamanya di pentas final Piala FA bersama JDT.

Baginya, meskipun di atas kertas JDT dilihat pasukan pilihan untuk menjulang trofi, mereka tidak pernah mengambil mudah setiap perlawanan dan tetap berwaspada dengan strategi Terengganu FC pada Sabtu ini.

“Saya rasa perjalanan untuk ke final setakat ini berjalan lancar dan kalau diberi peluang bermain, ini adalah final Piala FA pertama selama saya di JDT.

“Jadi, saya tidak akan melepaskan peluang dan akan memberikan yang terbaik di mana pasukan ini juga akan bermain habis-habiskan untuk cuba mendapatkan piala.

“Bagi saya, dalam mana-mana perlawanan sekali pun termasuklah liga kami sentiasa berwaspada dan kali ini kami akan memberikan sehabis baik untuk aksi final,” katanya. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram