'TFC juara Piala FA, dari Wakaf Dua ke Bukit Jalil'


  • Podium
  • Selasa, 06 Sep 2022

Antara kata-kata semangat kain rentang termasuklah ‘Terengganu FC (TFC) Juara’, ‘Dari Wakaf Dua Ke Bukit Jalil’ dan ‘Dari Hulu Ke Muara Terengganu Juara’. — Bernama

BAHANG final Piala FA semakin dirasai di Terengganu apabila penyokong dan pemain sibuk membuat persiapan menjelang aksi menentang Johor Darul Takzim (JDT), Sabtu ini.

Sokongan turut dizahirkan oleh 50 penduduk Kampung Wakaf Dua, di Kuala Terengganu, Terengganu yang menyiapkan 10 kain rentang tertera kata-kata semangat untuk dibawa ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai tanda sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Antara kata-kata tersebut ialah ‘Terengganu FC (TFC) Juara’, ‘Dari Wakaf Dua Ke Bukit Jalil’ dan ‘Dari Hulu Ke Muara Terengganu Juara’.

Seorang penyokong setia TFC, Muda Mat Ali, 60, berkata, beliau bersama penduduk kampung sudah menempah tiga bas untuk ke stadium itu, Sabtu ini.

"Kalau ikutkan lebih ramai (penduduk kampung) yang mahu ikut kerana sangat teruja apabila Skuad Penyu dapat ke final Piala FA selepas 11 tahun namun faktor tiket yang terhad menyebabkan hanya 120 orang yang dapat pergi.

"Atas semangat kesukanan dan sayangkan pasukan, penduduk kampung mengutip derma sebanyak RM2,000 untuk membuat persiapan kain rentang hari ini," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan pada Selasa.

ganu fa

Terengganu akan menentang JDT, Sabtu ini. — Facebook TFC

Muda yang dikenali sebagai 'Pok Pin Bola' dalam kalangan peminat bola sepak negeri ini berkata, beliau mengikuti perkembangan bola sepak tempatan sejak 1970-an.

Bermula saat itu, beliau tidak pernah ketinggalan menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium dan mengumpul semua jersi pasukan sejak dahulu hingga sekarang.

"Saya tidak kisah menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk pasukan kesayangan walaupun terpaksa bergolok-bergadai tidak mengapa demi lencana di dada.

"Sebagai peminat, sebelum menutup mata saya harap Terengganu dapat menjulang Piala FA tahun ini demi penyokong yang telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi selama ini," katanya.

Menurut Muda, penduduk kampung juga sudah bernazar untuk menyembelih dua ekor lembu sekiranya TFC dapat menjulang Piala FA musim ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram