Cabaran getir bertemu JDT, Marzuki Yusof titip azimat buat Sang Penyu


  • Podium
  • Khamis, 08 Sep 2022

Mengimbas kejayaan Terengganu ketika muncul juara Piala FA edisi 2011 selepas menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi final. — Agensi

BEKAS pemain Terengganu FC (TFC), Marzuki Yusof yang mengetuai Sang Penyu merangkul kejuaraan Piala FA 2011 menitipkan pesanan buat skuad TFC yang akan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi final di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Beliau berharap anak-anak buah Nafuzi Zain dapat mengurangkan kesilapan dan bijak mengambil peluang terhidang untuk meledak jaringan ke atas Harimau Selatan.

“Apa yang penting bagi menghadapi perlawanan akhir, anda buang rasa gentar sebelum masuk padang.

“Kawal emosi dan sokong rakan sepasukan kerana kita sahaja yang akan bekerja di tengah padang. Moral antara rakan-rakan kita yang akan bentuk (sokong),” katanya menerusi laman rasmi Terengganu.

Terengganu dikendalikan jurulatih Irfan Bakti muncul juara Piala FA 11 tahun lalu dan ketika itu skuad Sang Penyu diketuai Marzuki menewaskan Kelantan 2-1 pada masa tambahan.

Bekas kapten itu menyeru supaya anak-anak buah Nafuzi dapat mengulangi kejayaan mereka dengan membenam cabaran skuad kendalian Héctor Bidoglio tersebut.

Marzuki juga yakin skuad yang ada ketika ini mampu memberi saingan dan aksi terbaik pada perlawanan akhir nanti.

“JDT sememangnya pasukan terkuat di Liga Malaysia ketika ini, namun selagi wisel penamat belum ditiup oleh pengadil, apa sahaja boleh berlaku, apatah lagi semasa perlawanan akhir," katanya.

Beliau berkata, suasana di stadium dengan sorakan penyokong hampir 80,000 orang dan semangat juang pemain juga akan berbeza berbanding perlawanan sebelum ini.

Tambahnya, sebahagian besar pemain dalam skuad TFC kali ini akan menikmati perlawanan akhir pertama dalam karier mereka, berbanding JDT yang mempunyai ramai pemain berpengalaman beraksi di kancah akhir.

“Diharapkan sejarah dapat diulang. TFC membawa pulang kembali Piala FA ke Terengganu,” ujar Marzuki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram