KEKALAHAN Manchester United kepada Arsenal baru-baru ini banyak menmbulkan persoalan dalam kalangan penyokong kelab tersebut.
Antaranya termasuklah mengapa Cristiano Ronaldo tidak mengambil sepakan penalti sedangkan itu adalah peluang terbaik untuk mereka menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 1-2 ketika itu.
Sebaliknya, sepakan penalti itu diambil oleh Bruno Fernandes dan ternyata, peluang tersebut disia-siakan selepas sepakan itu gagal disempurnakan dengan baik.
Ternyata bukan penyokong sahaja yang pelik, tetapi pengendali sementara pasukan itu, Ralf Rangnick turut merasakan perkara sama.
Malah, selepas tamat perlawanan, Rangnick dilaporkan terus ke bilik persalinan untuk bertanya kepada Ronaldo mengapa keputusan itu dibuat.
"Saya bercakap dengan dia selepas tamat perlawanan dan dia memberitahu yang dia tidak merasakan dirinya perlu mengambil sepakan penalti itu.
"Malah, disebabkan itu dia memberikan sepakan penalti itu kepada Fernandes untuk diselesaikan," katanya.
Menerusi perlawanan pada Sabtu, hanya Ronaldo yang berjaya menjaringkan gol untuk pasukannya manakala tiga gol dijaringkan oleh Arsenal menerusi Nuno Tavares, Bukayo Saka dan Granit Xhaka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram