Duo import KL City undang gerun seluruh peminat Sabah FC


  • Podium
  • Khamis, 01 Sep 2022

Penyokong Sabah FC pastinya tidak mahu melihat pasukan mereka berputih mata di laman sendiri malam ini. — Facebook/Sabah FC

PENYOKONG tuan rumah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah bakal disajikan dengan perlawanan sengit di antara pasukan Sabah FC dan pasukan pelawat, Kuala Lumpur City (KL City) FC dalam aksi Liga Super pada Khamis.

Mana tidaknya, kedua-dua pasukan yang sedang berada di kemuncak prestasi itu memiliki misi keramat tersendiri untuk merebut tiga mata berharga.

Bagi skuad The City Boys, kemenangan ini bakal menjadi pembakar semangat mereka untuk menghadapi saingan antarabangsa di Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 7 September nanti.

Sementara itu, skuad Sang Badak pula perlu terus mengumpul mata agar dapat mengekalkan jarak dengan pencabar terdekat iaitu Negeri Sembilan FC (NSFC) yang hanya dibezakan dengan tiga mata serta kelebihan satu perlawanan di tangga ketiga Liga Super.

Untuk rekod, Sabah FC ditewaskan KL City 0-2 sewaktu berkunjung ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada pusingan pertama liga April lalu.

Skuad bimbingan Kim Swee sudah membuat persiapan akhir untuk bertemu KL City pada Khamis. Facebook/ Sabah FC

Sehubungan itu, penyokong Sabah FC, Ven S Kindawan, menerusi laman Facebook Official Sabah FC Fans Club 2022 menyeru agar skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee untuk tidak memandang mudah misi menentang skuad 'Warga Kota' itu.

Menurutnya, skuad Sang Badak perlu untuk tampil garang seawal separuh masa pertama agar kawalan bola tetap milik pasukan tuan rumah.

"Harap Sabah berhabis dari awal permainan. Jangan tunggu separuh masa kedua. KL City itu pasukan kuat," katanya.

"Kebiasaannya separuh masa kedua baru rancak serangan Sabah ni," sahut Aiman Imran.

Morales (dua dari kiri) dan Josue (paling kanan) merupakan dua pemain import yang perlu diawasi pemain Sabah FC. Facebook/ KL City

Dalam pada itu, Jumin Parit mahu Sabah FC berwaspada dengan dua pemain import KL City yang disifatkan sebagai arkitek kepada kejayaan pemain KL City.

"Saya tidak pernah memperkecilkan kmampuan KL City. Dari tahun lalu, saya amat tertarik dengan pemain-pemain import KL City iaitu Paulo Josue dan Romel Morales.

"Kedua-duanya adalah arkitek kemenangan KL City. KL City juga memiliki penjaga gawang yang bagus," katanya.

Untuk makluman, Josue telah menyumbangkan 10 gol buat KL City dalam 20 penampilannya bersama pasukan tersebut manakala Morales pula mencetakkan lima gol dalam 17 perlawanan bersama KL City. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram