'Lain kali dengar cakap senior', Lee Zii Jia terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Jepun


  • Podium
  • Rabu, 31 Ogos 2022

Lee Zii Jia tewas seawal pusingan pertama Terbuka Jepun selepas menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Komanwel. — Agensi

EPISOD duka pemain perseorangan negara, Lee zii Jia berterusan apabila dia terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Jepun pada Rabu.

Tampil sebagai pilihan kelima kejohanan di Osaka itu, Zii Jia gagal bangkit daripada kekecewaan Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini apabila tewas straight set kepada pemain India, K. Srikanth 20-22, 21-23.

Berdasarkan rekod pertemuan bersama K. Srikanth, ini merupakan yang pertama pemain berusia 24 tahun rebah di tangan lawannya yang menghuni ranking ke-14 dunia itu.

Kekalahan tersebut pastinya meneruskan kekecewaan pemain kelahiran Kedah itu selepas tewas pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo minggu lalu kepada pemain China, Zhao Jun Peng 19-21, 21-11, 19-21.

Sesetengah peminat sukan tanah air tidak berasa simpati dengan nasib menimpa Zii Jia, malah mereka berharap pemain harapan negara itu mengambil kira pendapat legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Terdahulu, Chong Wei, menganggap keputusan Lee Zii Jia untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham bagi menumpukan kepada Kejohanan Badminton Dunia BWF sebagai sesuatu yang silap dan merugikan.

Tidak cukup dengan itu, keputusan pemain dari Alor Setar itu turut mengundang kritikan bekas pemain badminton kebangsaan, Datuk James Selvaraj yang mempersoalkan semangat kenegaraan dimiliki juara Terbuka England 2021 itu.

Salah seorang netizen, Shah Ray berkata: " Pentingkan diri sendiri. Terimalah akibatnya. Jadilah seperti Chong Wei. Jangan rasa diri itu hebat sangat. Perjalanan masih jauh.

"Karma kerana menarik diri daripada misi negara," kata Ahmad Shah Abu Samah.

Zuriman Zain menambah: "Anda terlalu ego. Anda ingat anda keluar BAM (Persatuan Badminton Negara), anda akan berjaya ke?

"Kami tahu bila anda keluar BAM banyak tajaan swasta. Tapi kalau game ke laut. Kami amat kecewa," katanya.

Ariss Ottman menyambung: "Lain kali dengarlah nasihat senior. Ada sebab kenapa senior cakap macam itu."

Pada Januari lalu, Zii Jia dilaporkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain BAM dan diterima oleh persatuan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram