OKS mahu baiki kelemahan, Bojan Hodak tidak terlalu kecewa


  • Podium
  • Jumaat, 02 Sep 2022

Sabah FC terpaksa berputih mata untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri apabila sekadar seri 2-2 dengan Kuala Lumpur City FC.—MFL

KELALAIAN semasa menangani asakan lawan daripada situasi bola mati membuatkan Sabah FC terpaksa berputih mata untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri apabila sekadar seri 2-2 dengan Kuala Lumpur City FC.

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata, dia mahu kelemahan itu mampu diperbaiki bagi mendapatkan semula rentak kemenangan buat pasukan selepas dua perlawanan.

Bagaimanapun, beliau tetap berikan pujian kepada barisan pemain yang tidak kenal erti putus asa dan berjaya bangkit sebanyak dua kali dari ketinggalan.

“Kita hilang fokus ketika set-pieces dari situasi sepakan percuma di mana dua jaringan pasukan Kuala Lumpur menyebabkan kita sentiasa ketinggalan dan ini satu kelemahan yang perlu kita perbaiki.

“Kuala Lumpur sebuah pasukan yang bermain secara taktikal dengan cukup baik, mereka hadir untuk dapatkan satu mata dan berjaya manakala kita gagal sempurnakan banyak peluang terhidang yang menyebabkan kita gagal meraih kemenangan.

“Sejak lima perlawanan lepas kita sentiasa ketinggalan dan pujian harus diberi daripada segi semangat juang tinggi ditunjukkan para pemain di mana mereka sentiasa berusaha dapatkan gol.

“Mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk kembali semula dalam perlawanan, ini satu sikap positif yang ditunjukkan para pemain kita,” katanya memetik laporan MFL.

Dalam satu-satunya perlawanan yang berlangsung pada Khamis, Giancarlo Gallifuoco meletakkan KL City di depan pada minit ke-4 sebelum Dominic Tan menyamakan kedudukan pada minit 47.

Pemain tengah KL City, Akram Mahinan kembali memberikan kelebihan kepada pelawat tetapi Saddil Ramdani menyelamatkan maruah Sabah melalui sepakan percuma menarik pada minit 85.

Keputusan seri itu nyata tidak banyak membantu Sabah untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu, JDT, kerana selain jurang lima mata, mereka sudah mempunyai kelebihan dua perlawanan.

Bagi KL City, ketua jurulatihnya, Bojan Hodak, beliau tidak berasa terlalu kecewa sambil menyifatkan satu mata itu tetap berharga kerana bukan mudah buat mana-mana pasukan beraksi di Likas.

Ditambah turun tanpa penyerang utama iaitu Romel Morales dan Jordan Mintah, Hodak berasakan pasukannya telah tampilkan aksi cemerlang.

“Mungkin ramai berasakan kami kecewa kerana tidak menang setelah mendahului dua kali, tetapi tidak sebenarnya kerana saya rasakan ini satu keputusan yang baik kepada kami.

“Tidak banyak pasukan datang ke Likas mendapatkan mata dan Sabah pasukan yang bagus kerana mereka jelas sangat tersusun malah saya sangat gembira suasana perlawanan di sini.

“Kami tidak dapat turunkan kedua-dua penyerang pada perlawanan ini dan mungkin jika salah seorang boleh beraksi, situasinya mungkin berlainan tetapi saya tidak mahu ambil risiko memandangkan perlawanan Piala AFC semakin hampir,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram