Nafuzi Zain lega untuk berdepan Melaka United


  • Podium
  • Jumaat, 02 Sep 2022

Nafuzi belum memutuskan skuad utama untuk saingan pada Sabtu kerana masing-masing menunjukkan prestasi baik termasuk pemain muda.

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mahu anak buahnya meneruskan momentum kecemerlangan sekali gus meraih tiga lagi mata pada aksi Liga Super menentang Melaka United pada Sabtu.

Pengendali muda kelahiran Kelantan itu turut menggesa pemain supaya memanfaatkan kelebihan yang ada iaitu beraksi di laman sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memastikan pasukan lawan pulang dengan tangan kosong.

Menurut Nafuzi, selain memotivasikan pemain, kemenangan itu juga penting untuk membolehkan skuad Penyu kekal bersaing dalam kelompok teratas liga, sekali gus mencapai sasaran menjadi tiga pasukan terbaik musim ini.

"Tiga kemenangan berturut-turut dalam perlawanan sebelum ini membuka semula peluang Terengganu untuk menamatkan liga di kedudukan tiga pasukan terbaik.

"Saya akui jarak mata dengan pencabar terdekat, Negeri Sembilan FC (NSFC) agak jauh iaitu tujuh mata, tetapi jika kita mampu memenangi baki enam perlawanan, insya-ALLAH peluang itu tetap ada dan terbuka," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gong Badak pada Khamis.

Nafuzi berkata, dia juga berasa agak lega kerana semua pemainnya sudah bebas daripada masalah kecederaan dan sedia diturunkan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, dia belum memutuskan skuad utama untuk saingan malam esok kerana masing-masing menunjukkan prestasi baik termasuk pemain muda.

"Selepas berehat panjang lebih kurang 12 hari tanpa perlawanan, semua pemain nampaknya telah kembali cergas dan pulih daripada kecederaan.

"Situasi ini bagus untuk pasukan di saat kita bakal menghadapi perlawanan akhir Piala FA dengan Johor Darul Takzim (JDT) dalam tempoh lima hari selepas aksi dengan Melaka," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram