HARIMAU Malaya kendalian jurulatih Kim Pan-gon perlu mengutip enam mata dalam dua perlawanan awal kempen Piala AFF 2022 yang dijadualkan berlangsung pada Disember depan.
Bagi jurulatih berpengalaman Azraai Khor Abdullah yang juga bekas pengendali Kedah, keputusan positif menerusi dua perlawanan pertama amat penting bagi meningkatkan keyakinan dalam kalangan pemain.
Azraai Khor berkata, dia percaya, peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir lebih cerah sekiranya misi enam mata itu berjaya dicapai pasukan.
“Kalau kita lihat jadual yang dikeluarkan, skuad kebangsaan perlu memanfaatkan dua aksi pertama ini dengan mengutip enam mata penuh.
“Saya percaya sekiranya mereka berjaya mencipta keputusan positif, ia sudah tentu menaikkan semangat para pemain menjelang perlawanan ketiga menentang Vietnam.
“Malah sekiranya motivasi mereka tinggi pada perlawanan ketiga nanti, saya beranggapan tidak mustahil mereka akan lakar kejutan ke atas Vietnam,” katanya.
Untuk rekod, Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama juara 2008 dan 2018, Vietnam serta Singapura, Myanmar dan Laos dalam majlis undian di Bangkok, Thailand pada Selasa.
Anak buah Pan-gon akan menyingkap tirai kempen Kumpulan B berdepan Myanmar di laman lawan pada 21 Disember diikuti aksi di tempat sendiri menentang Laos (24 Disember).
Kemudian Harimau Malaya akan bertandang ke Vietnam (27 Disember) sebelum melabuh tirai berdepan Singapura di laman sendiri pada 3 Januari.
Sementara perlawanan separuh akhir pertama berlangsung pada 6 dan 7 Januari tahun depan manakala timbal balik kedua pula pada 9 dan 10 Januari.
Perlawanan akhir pertama akan berlangsung pada 13 Januari manakala aksi final kedua pula pada 16 Januari.
Sementara itu, juara bertahan, Thailand pula diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara edisi 2020, Indonesia, Filipina, Kemboja dan pemenang perlawanan kelayakan Brunei menentang Timor Leste.
Mengenai undian peringkat kumpulan, Azraai Khor menyifatkan peluang skuad negara untuk mara ke separuh akhir cerah.
Bagaimanapun tegasnya, skuad kebangsaan masih perlu berwaspada dengan ancaman Singapura dan Myanmar yang menampilkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini.
“Berdasarkan undian semalam (Selasa), saya melihat pasukan kebangsaan mungkin tidak akan berdepan masalah mara ke separuh akhir sebab lawan paling kuat mereka adalah Vietnam.
“Bagaimanapun itu bukanlah tiket untuk berasa selesa memandangkan Myanmar dan Singapura boleh dikatakan bakal memberi kejutan,” katanya. — Sukan Sinar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram