'Maut menanti depan rumah ko,' Hafizal buat laporan polis diugut lepas kritik Zii Jia


  • 112
  • Khamis, 01 Sep 2022

Hafizal Hamad membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada Rabu selepas menerima mesej berbaur ugutan. — Instagram

PENGULAS program sukan, Hafizal Hamad membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada Rabu selepas menerima mesej berbaur ugutan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mesej berbaur ugutan itu diterima melalui laman Instagram 'antimediababi' pada 27 Ogos lalu.

"Pengulas sukas Astro Arena itu kemudian membuat laporan hari ini (Rabu) kira-kira pukul 1 pagi kerana mesej berkenaan mendatangkan kegusaran kepada pengadu sekeluarga.

"Antara ayatnya adalah 'lagi sekali ko bagi kritikan negatif dekat semua atlet Malaysia, ko aku akan kerjakan' dan 'ko buat pesanan maut menanti depan rumah ko"," ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pengadu ada menyentuh berkenaan kemerosotan pemain badminton negara, Lee Zhi Jia semasa mengulas dalam rancangan Nindia Pak Long.

Katanya, pengadu mengesyaki perkara itu mungkin telah mengundang rasa tidak puas hati pihak-pihak tertentu.

"Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Hadi di talian 016-2745515," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram