Hodak anggap Sabah FC medan pemanas badan KL City sebelum final AFC


  • Podium
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

KL City FC meneruskan kemaraan di saingan Piala AFC 2022 selepas menundukkan kelab dari Indonesia, PSM Makassar 5-2 untuk bergelar juara Zon ASEAN. — Agensi

BIARPUN kemenangan di pentas final Zon ASEAN saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Rabu disifatkan sebagai satu kisah dongeng jadi kenyataan, pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC mahu terus ke hadapan.

Pada saingan seterusnya, skuad kendalian Bojan Hodak akan berhadapan dengan pasukan dari India, ATK Mohun Bagan yang kini menduduki tangga ketiga Liga Super India bagi merebutkan separuh akhir Antara Zon Piala AFC 2022.

Bagaimanapun, namun status lawan mereka belum dapat dipastikan kerana Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sekiranya penggantungan muktamad, KL City akan mendapat kemenangan percuma untuk bertemu kelab dari Uzbekistan atau Hong Kong dalam final Antara Zon pada 5 Oktober 2022.

Enggan sarat memikirkan tentang saingan AFC, Hodak mahu beri tumpuan pada saingan Liga Super menentang pasukan Sabah FC pada 1 September nanti.

Menurut Hodak, kekuatan Sabah FC yang kini berada di posisi kedua Liga Super merupakan lawan 'pemanas badan' terbaik sebelum mereka meneruskan saingan di peringkat antarabangsa tersebut.

Jika pasukan ATK Mohun Bagan digantung, KL City akan menemui jalan mudah ke pentas final. Agensi

"Sekarang ini, kami mahu pasukan kami fokus pada perlawanan Liga Super menentang Sabah FC Khamis depan. Hanya selepas itu baru kami fikir tentang perlawanan di AFC.

"Mengenai Mohun Bagan, kami tahu mereka adalah salah satu pasukan terbaik India. Kami pernah menonton beberapa perlawanan mereka sebagai persediaan awal.

"Tapi, buat masa ini, kami hanya akan fokus pada perlawanan di Sabah FC. Sabah FC merupakan pasukan kedua di Liga Super, jadi menentang mereka sebelum acara antarabangsa adalah satu peluang yang bagus.

"Tambahan, kami akan jadi pasukan pelawat. Ini akan membantu pasukan kami tingkatkan momentum baik dari segi fizikal dan mental menjelang saingan AFC nanti," katanya kepada Majoriti.

Pada musim lalu, Hodak telah mencipta sejarah buat The City Boys apabila menamatkan kemarau 32 tahun dengan menjulang Piala Malaysia 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram