KEKALAHAN Sabah FC 0-2 sewaktu berkunjung ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada April lalu pasti menjadi alasan besar buat The Rhinos ingin membalas dendam terhadap Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Perlawanan yang akan diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis ini bakal menyaksikan Sabah membuat perhitungan kedua dengan juara Piala Malaysia 2021 tersebut dan sekali gus peluang untuk peroleh tiga mata berharga.
Menjelang perlawanan itu, Majoriti sebelum ini melaporkan bahawa ketua jurulatih skuad Warga Kota, Bojan Hodak berkata, kedudukan Sabah FC yang berada pada tangga kedua merupakan lawan 'pemanas badan' terbaik sebelum mereka meneruskan saingan separuh akhir Antara Zon Piala AFC 2022.
KL City kini juga sedang mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pasukan dari India, ATK Mohun Bagan yang kini menduduki tangga ketiga Liga Super India bagi merebutkan separuh akhir Antara Zon Piala AFC 2022.
Bagaimanapun, komen jurulatih berusia 51 tahun itu mendapat reaksi yang kurang memberangsangkan dari penyokong Sang Badak sehingga mereka berasa Bojan terlalu sombong dengan mengganggap Sabah FC hanya sebagai 'pemanas badan'.
Antara aksi pemain sewaktu Sabah FC berkunjung ke laman KL City pada April lalu. — Facebook Sabah FC
Bagi penyokong Sabah FC, dengan kedudukan dan rekod kemenangan Sabah FC sepatutnya tidak dipandang enteng oleh pasukan Warga Kota.
“Sebelum ini menang 2-0 terus cakap Sabah FC tempat pemanas badan. Tunggu Khamis ini. Kita tengok siapa bungkus siapa,” tulis penyokong Sabah FC, Pull Sarlu.
“Sampai begitu sekali tuan kau menilai Sabah FC untuk pemanasan badan saja, Jangan tuan, bola itu bulat, bola itu juga boleh menjadikan ajaib seperti pasukan kau duduk di pentas akhir. Terima kasih tuan, kami penyokong terima seadanya kata-kata kamu. Jumpa di Likas,” komen MD Affendy.
“Ini cakap besar saja. Dia ingat anak-anak buah OKS (Datuk Ong Kim Swee) tiada makan nasi kah? Sudah berapa pasukan pandang rendah Sabah FC. Mana-mana pasukan yang datang di Likas, cakap besar berputih mata,” komen Muhammad Firdaus.
Bagi penyokong Jumin Parit pula, kenyataan dari Bojan itu sepatutnya menjadi pembakar semangat buat Sabah FC agar lebih mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan Khamis ini dan bukannya melihat ia sebagai perkara negatif.
Pasukan dibawah kendalian Kim Swee kini berada pada posisi kedua dalam saingan Liga Super dengan mengumpul 35 mata selepas 16 perlawanan, agak jauh meninggalkan KL City FC di tangga keenam dengan skuad The City Boys memiliki 21 mata, kurang satu perlawanan berbanding The Rhinos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram