Misteri kontrak Tommy Mawat Bada, penyokong Sabah FC tanya bila giliran Embalo?


  • Podium
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Tommy sudah menyumbang dua bantuan gol sepanjang bersama pasukan Sabah FC musim ini. — Bernama

PENGUMUMAN Sabah FC mengenai penamatan kontrak pemain dari Sarawak, Tommy Mawat Bada yang berkuatkuasa serta-merta menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Sang Badak.

Ini kerana punca pemain sayap dan pertahanan kiri itu ditamatkan kontrak tidak diterangkan dalam kenyataan dikeluarkan Sabah FC.

Pemain berusia 27 tahun berkenaan antara sejumlah pemain yang diikat Sabah FC selepas Datuk Ong Kim Swee mengambil alih tugas sebagai pengendali skuad Borneo pada musim ini.

Rata-rata penyokong merasakan prestasi Tommy bukan sahaja memberangsangkan, malah lebih baik daripada penyerang import skuad tersebut, Jose Embalo.

Tommy yang diberi kepercayaan untuk turun bersama pasukan Sabah sebanyak 11 kali dalam saingan Liga M telah menyumbangkan dua bantuan gol buat pasukan itu.

Embalo masih lagi belum menjaringkan sebarang gol buat Sabah FC walaupun bermain di posisi serangan. Facebook/ Sabah FC

Pencapaian tersebut secara tidak langsung menyaksikan Tommy memberikan persembahan lebih baik daripada Embalo yang masih lagi belum mencetak sebarang jaringan setelah membuat enam penampilan bersama Sabah FC.

"Baik rehatkan Embalo. Kualiti sama taraf pemain tempatan. Gaji tinggi tapi pemain tempatan lebih menyerlah. Jangan jadi pasukan yang mudah kena scam dengan ejen.

"Pemain yang tidak menyerlah dalam Johor Darul Takzim (JDT) diletakkan dalam JDT II. Sekiranya mahu gaji tinggi, kena kerja lebih usaha.

"Jika tidak, boleh tamatkan kontrak atau dipinjamkan kepada pasukan lain," kata Eddy Ruha.

Jimmy Santaim menambah: " Embalo bila lagi nak kena tamat kontrak. Tommy Mawat main lagi cantik dari Embalo." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram