PERLAWANAN antara skuad Kuala Lumpur City (KL City) FC dan kelab Vietnam, Viettel City di Ho Chi Minh, Vietnam pada Rabu akan menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.
Selepas dibelasah Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi domestik baru-baru ini, KL City pastinya mahu menebus kekalahan untuk bangkit beraksi dalam aksi separuh akhir Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Zon Asean itu.
Bercakap mengenai perlawanan itu, pengendali KL City, Bojan Hodak mengakui The City Boys berdepan ujian sukar kerana skuad The Red Tornado itu adalah salah sebuah pasukan Vietnam yang agak hebat dan tidak mudah ditewaskan.
Keadaan cuaca hujan juga katanya, akan merumitkan keadaan kerana padang yang lembut dan becak akan menyukarkan lagi perlawanan.
"Viettel City FC berada di kedudukan dua teratas, dua tahun lepas. Secara individu mereka adalah pasukan yang sangat kuat.
"Mereka mempunyai beberapa pemain pasukan kebangsaan dan import yang bagus. Sudah tentu mereka adalah pasukan pilihan dan ini pastinya memberi saingan sengit kepada kami.
"Namun kami cuba mempamerkan aksi terbaik dan cuba untuk mendapatkan hasil yang positif," katanya kepada Majoriti.
Bojan (kiri) berkata, keadaan padang yang lembut dan becak berikutan cuaca hujan dikhuatiri akan menyukarkan lagi perlawanan. — Facebook
Ketua jurulatih KL City itu juga optimis kerana empat tonggak pasukan yang mengalami kecederaan sebelum ini, dapat beraksi semula untuk perlawanan penting itu.
"Persediaan baik setakat ini. Beberapa pemain yang cedera seperti Ryan Lambert, Zhafri Yahya dan Anwar Ibrahim kembali dalam pasukan.
"Kapten pasukan, Paulo Josue juga sudah kembali dan ini beri petanda baik untuk kami," katanya.
KL City sebagai penyandang juara Piala Malaysia dan Kedah Darul Aman (KDA) FC masing-masing berjaya meraih tiket ke separuh akhir saingan Piala AFC bagi zon ASEAN dengan cara tersendiri.
Kejayaan KL City berpunca hasil kemenangan 2-1 ke atas Tampines Rovers dari Singapura yang membolehkan The City Boys muncul juara Kumpulan H apabila dibezakan dengan perbezaan jaringan kelab Indonesia, PSM Makassar yang turut layak berdepan KDA FC dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram